Ketua pasukan Mata Hari KL Registry, Vincent Chan (dua kanan) bersama pasukannya menunjukkan trofil selepas meraikan kejuaraan dalam acara kelas IRC1 pada hari kelima Kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi ke 17 di Royal Langkawi Yacht Club, Langkawi. foto SYAFIQ AMBAK, 12 JANUARI 2019

LANGKAWI – Pasukan dari Malaysia, Mata Hari KL Registry hari ini merangkul kejuaraan kali kelima berturut-turut bagi kelas IRC1 pada hari terakhir Kejohanan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2019.

Hasil bimbingan Vincent Chan, pasukan itu meraih 14 mata keseluruhan selepas 10 perlumbaan yang berakhir hari ini.

“Perlumbaan hari terakhir amat sengit di mana keadaan angin sampai 20 knot, jadi pasukan kami kena kerja lebih kuat untuk atasi pasukan Emagine, dan juga MegaZip.

“Pada perlumbaan kesembilan hari ini kami dapat tempat kedua dan perlumbaan kesepuluh kami dapat tempat pertama.

“Pasukan saya sangat gembira untuk pertahankan kejuaraan untuk kali kelima,” katanya di Royal Langkawi Yacht Club (RLYC) hari ini.

MGF11012019_REGATTA LANGKAWI15(2)
Pasukan Mata Hari KL Registry dari Malaysia ketika beraksi dalam acara kelas IRC1 memulakan perlumbaan pada hari keempat Kejuaraan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi ke 17 di Royal Langkawi Yacht Club, Langkawi. foto SYAFIQ AMBAK, 11 JANUARI 2019

Mata Hari yang mendahului sejak hari pertama perlumbaan mengenepikan saingan utamanya, pasukan Megazip dari Rusia yang mengumpul 20 mata dan East Marine Emagine dari Amerika Syarikat di tempat ketiga dengan 25 mata.

Dalam pada itu, Vincent berkata, pasukannya akan membuat sedikit kelainan tahun hadapan dengan mengemukakan satu lagi pasukan yang terdiri daripada pelayar wanita.

“Bagi tahun depan, kami harap mempunyai lebih pelayar wanita, mungkin lapan orang di atas bot ini. Itu perancangan kami dan harap ia dapat dilakukan.

“Kami melakukannya kerana pelayar wanita tidak terlalu diketengahkan dalam saingan regatta. Kebanyakan pelayar, 95 peratus daripadanya membabitkan lelaki, jadi kami fikir selain membantu mempromosi pelayaran, ia juga dapat membantu memperkenalkan sukan itu dalam kalangan anak muda di Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette