Anggota polis membuat kawalan sekitar kawasan pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 12 JANUARI 2019.

TANAH RATA – Suasana di pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands semakin sibuk apabila para petugas dan penyokong parti-parti yang bertanding mula berkumpul di Padang Majlis Daerah Cameron Highlands yang terletak bersebelahan  SMK Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata pagi ini.

Kawalan ketat keselamatan dijalankan, malah jalan utama ke pusat penamaan calon juga ditutup bagi mengelak kesesakan lalulintas di kawasan tersebut.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun turut berada di lokasi bagi memastikan semua urusan penamaan calon berjalan lancar.

MGF12012019_PENAMAAN CALUN PRK CH04
Anggota polis membuat kawalan sekitar kawasan pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 12 JANUARI 2019.

Sehingga kini Pakatan Harapan menamakan bekas calon mereka di situ M Manogran manakala Barisan Nasional pula meletakkan bekas pegawai polis berketurunan orang Asli, Ramli Mohd Noor sebagai calon.

PRK Cameron Highlands diadakan semula selepas kerusi Parlimen itu yang dimenangi Barisan Nasional menerusi calonnya, Datuk C Sivarraajh pada PRU-14, diisytiharkan kosong oleh Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu.

Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen berkenaan yang membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Sivarraajh memperoleh 10,307 menewaskan M Manogaran dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) (9,710 undi); Wan Mahadir Wan Mahmud dari PAS (3,587 undi); Mohd Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B Suresh Kumar dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) (680 undi).

Manogaran, 59, memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun lalu, memohon pengisytiharan keputusan PRU-14 untuk kerusi Parlimen itu terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. – MalaysiaGazette