Tengku Abdul Rahman
Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah (kanan) berkenan bercakap pada sidang media diiringi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (kiri) berhubung pengumuman pemangku Raja Pahang sebagai Sultan Pahang yang baharu di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang. foto FAREEZ FADZIL, 12 JANUARI 2019

PEKAN – Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dilantik sebagai Sultan Pahang keenam bagi menggantikan ayahanda baginda, Sultan Ahmad Shah.

Pengumuman pelantikan berkenaan dibacakan oleh Timbalan Pengerusi Jumaah Pangkuan Diraja Negeri, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dalam satu majlis khas di Istana Abu Bakar di sini hari ini.

Tengku Abdullah dipilih sebagai Sultan Pahang yang baharu selepas selesai mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang di Kuala Lumpur semalam.

Baginda akan dimasyhurkan pada 15 Januari ini di istana yang sama pukul 11.00 pagi.

Tengku Abdul Rahman berkata, majlis istiadat pertabalan Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang yang baharu akan diadakan dalam tempoh setahun.

MGF12012019_PC ISTANA PAHANG_02
Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah (tengah) berkenan untuk hadir diiringi Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Abdul Fahd Mu’adzam Shah Sultan Ahmad Shah (dua kiri) dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (kanan) menuju ke bilik sidang media bagi mengumumkan  pelantikan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Sultan Pahang yang baharu di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang. foto FAREEZ FADZIL, 12 JANUARI 2019.

“Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang semalam tidak membincangkan kedudukan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong,” katanya pada sidang media khas di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang

Tambah Tengku Abdul Rahman, Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Negeri semalam hanya membincangkan hal negeri dan pelantikan Yang di-Pertuan Agong mengikut penggiliran di bawah kuasa Majlis Raja-Raja Melayu – MalaysiaGazette