Khairul Dzaimee Daud

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) melantik Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud sebagai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang baharu.

Dalam satu kenyataan Ketua Setiusaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, pelantikan tersebut akan mula berkuatkuasa
esok.

Menurut Alwi, Indera Khairul, 47, merupakan seorang yang berkelulusan Sarjana Strategi dan Diplomasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan mempunyai pengalaman dalam bidang pengurusan dan imigresen.

“Di samping itu, beliau juga bertanggungjawab terhadap dasar berkaitan hal ehwal imigresen, pengurusan pekerja asing dan hal ehwal pendaftaran negara semasa menjadi Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN pada Julai 2018 hingga 13 Julai 2019 (hari ini),” katanya.

Pelantikan Indera Khairul sebagai menggantikan bekas ketua pengarah imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali yang bersara pada 2 Januari lalu.

Mustafar kini mengetuai Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC) sebagai ketua eksekutif bermula pada tarikh beliau bersara.

Sementara itu, Alwi turut menyatakan Datuk Jamil Rakon dikekal jawatan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan KDN.

Pengekalan jawatan itu berdasarkan pengalaman luas Jamil dalam bidang pengurusan pentadbiran awam serta pembangunan yang diperlukan oleh KDN untuk memperkasakan tadbir urus kementerian.

“Kepakaran dan pengalaman kedua-dua pegawai ini akan dapat memperkukuhkan pentadbiran Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia,” tambah kenyataan itu. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan