Calon Barisan Nasional, Ramli Mohd Noor bersalaman dengan sebahagian penduduk setempat sambil diiringi isterinya, Rozana Kamal (dua kiri) sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di sekitar kawasan Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 13 JANUARI 2019

CAMERON HIGHLANDS – Tidak ada halangan kepada sesiapa untuk bantu memenangkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands sepanjang tempoh kempen.

Malah pemimpin seperti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga dialu-alukan turun berkempen bagi memastikan kemenangan untuk BN kali ini.

Begitu pendapat calon BN PRK Cameron Highlands, Ramli Md. Nor ketika diminta mengulas seandainya Najib berminat turun membantunya berkempen.

“Saya sebenarnya tiada sebarang halangan bagi mana-mana pihak yang ikhlas bantu saya menang di PRK Cameron Highlands ini. Saya juga tidak boleh halang sesiapa yang datang berkempen.

“Semua orang boleh berkempen dan datang ke sini, tiada ada masalah tentang perkara. Saya tidak ada sebarang halangan,” katanya ketika ditemui media pada sesi walkabout sekitar Tanah Rata pagi tadi.

Ramli mengulas kenyataan Najib yang juga merupakan bekas Presiden UMNO yang akan mempertimbangkan untuk turun berkempen bagi calon BN walaupun sedang berhadapan dengan pelbagai dakwaan di mahkamah.

Bagaimanapun jelas Najib, belum ada mana-mana pihak menjemputnya setakat ini.

Namun Najib juga mendedahkan, sememangnya ada permintaan tinggi daripada segelintir pihak untuk beliau menghadirkan diri bagi membantu calon BN dalam pertemuan yang dianggap antara PRK paling sengit.

Sementara itu, Ramli cukup optimis dengan sokongan Orang Asli malah yakin kira-kira 22 peratus sokongan itu akan berpihak kepadanya.

“Hampir rata-rata warga Orang Asli ini adalah keluarga dan kaum kerabat saya sebenarnya, sahabat handai juga saya,” ujarnya. –MalaysiaGazette