Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bercakap kepada media selepas hadir menyampaikan sumbangan pihak NGO Nadi Rakyat kepada keluarga S. Sukumaran di Kampung Padang Jawa, Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI, 14 JANUARI 2019

SHAH ALAM – Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkannya ketika Barisan Nasional (BN) memerintah sebelum ini bukan rasuah.

Katanya, beliau berkata, begitu kerana ketika memperkenalkan skim itu kerajaan BN dengan jelas memberitahu kepada rakyat, mereka yang layak akan menerima BR1M tetapi mengundi adalah hak masing-masing.

“Kita beri BR1M kepada golongan yang berpendapatan RM3,000 ke bawah. Kita juga beri kepada golongan yang berpendapatan RM4,000. Kita tidak kata, awak akan dapat BR1M kalau awak undi BN.

“Malah, di sesetengah majlis pembahagian BR1M, pembangkang paling ramai dapat (menerima ketika itu),” katanya pada program santai bersama kepimpinan dan ahli UMNO Selangor di Pejabat UMNO Negeri di sini hari ini.

Menurut Najib, sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan Persekutuan, mereka telah mengurangkan jumlah penerima BR1M daripada tujuh juta kepada empat juta orang dengan bayaran juga dikurangkan kepada RM1,200.

Mengenai rasuah, Najib mahu kerajaan PH supaya meneliti tindak tanduk pemimpin mereka terutama ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands ketika ini.

Katanya, yang rasuah ialah kalau pemimpin PH mengugut Tok Batin Orang Asli di Cameron Highlands untuk tidak membayar gaji dan elaun sekiranya mereka tidak memberi undi atau menyokong calon DAP.

“Yang rasuah ialah kalau mereka kata, (jika) pegawai JASA hendak disambung semula (kontrak), mereka mesti isi borang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Itu rasuah namanya.

“BR1M bukan rasuah. Ini yang mereka tidak faham dan mereka sekarang ini cakap tak serupa bikin. Macam-macam mereka buat perkara yang tidak betul,” katanya.

Najib yang juga bekas Presiden UMNO turut menyentuh berkenaan moral integriti yang gagal dilaksanakan oleh kerajaan PH, seperti menabur janji tetapi tidak ditunaikan atau dilaksanakan.

“Moral integriti ini maknanya, kalau kita berjanji pada orang lain, apatah lagi kita janji kepada rakyat, mereka tidak dapat tunaikan. Maknanya mereka sudah gagal daripada segi integriti moral.

“Kalau mengikut Islam, orang sedemikian adalah munafik iaitu bila bercakap, mereka berbohong. Bila berjanji, mereka tidak tunaikan. Inilah kerajaan hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette