Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan sumbangan kepada keluarga S. Sukumaran ketika hadir menyampaikan sumbangan pihak NGO Nadi Rakyat di Kampung Padang Jawa, Shah Alam, Selangor. foto IQBAL BASRI, 14 JANUARI 2019

KLANG – Kerana tidak cukup RM300 untuk membayar sewa rumah, Kannagi dan keluarga tidak dibenarkan mendiami rumah berkenaan sehingga jumlahnya mencukupi.

Malah, kunci rumah berkenaan dipegang oleh pemilik kediaman terbabit sehingga mereka dapat mengumpul jumlah yang mencukupi.

Ketika itu, kata Kannagi, 39, dia hanya mempunyai wang sebanyak RM280 sahaja tetapi kerana kurang RM20, dia sekeluarga tidak dibenarkan memasuki rumah itu.

Menceritakan pengalaman pahit tinggal menyewa di rumah itu selama lebih tiga tahun, ibu kepada dua anak itu kini menyara keluarga.

Beliau memberitahu, suaminya, S. Sukumaran, 40, tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Katanya, suaminya itu berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan beberapa tahun lalu selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.

“Dalam kemalangan itu, tangan dan kakinya patah. Selepas itu, dia tidak lagi boleh bekerja berat untuk mencari rezeki. Sehinggalah suatu hari saya lihat dia keluar dari rumah membawa tong (baldi).

“Katanya, dia nak cuci kereta dan upah dari pekerjaan itu dapat beli makanan,” katanya kepada MalaysiaGazette dalam nada sebak di rumahnya di Kampung Padang Jawa 2 hari ini.

Kisah Sukumaran dan anaknya, Sharmini, 12, mendapat perhatian seorang netizen yang bersimpati dengan nasib dua beranak itu mengambil upah mencuci kereta tanpa menetapkan kadar bayaran.

Kisah keluarga ini juga turut mendapat perhatian mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang kemudian bersama Pertubuhan Nadi Rakyat Malaysia berkunjung ke rumahnya untuk menyampaikan bantuan.

Menurut Kannagi, beliau sekali sekala turun membantu suaminya, tetapi tidak boleh berterusan dari jam 9 pagi hingga 5 petang kerana masalah kesihatan.

“Saya ada anak kecil yang berusia enam tahun. Dia perlukan jagaan dan perhatian saya,” katanya.

Ditanya berapa kadar upah dikenakan bagi setiap kereta yang dicuci, beliau berkata, suaminya tidak mengenakan upah tertentu, sebaliknya terpulang kepada pemilik kenderaan berkenaan untuk membayarnya.

“Ada kalanya suami beritahu, ada orang beri RM10 dan ada juga yang bersimpati dengan kami, beri sampai RM20. Selain upah, ada juga orang yang baik hati berikan kami makanan segera. Dia (suami) bawa balik dan kami makan bersama-sama,” katanya.

Mengenai anaknya Sharmini yang masih bersekolah, Kannagi berkata, dia pernah melarangnya supaya menumpukan pada pelajaran.

“Tapi, dia kata, kalau dia tak tolong ayah, siapa nak sara hidup kami sekeluarga,” katanya sambil mengesat air mata.

Keluarga ini tinggal di kawasan Parlimen Kota Raja dan Dewan Undangan Negeri Sri Kandis. – MalaysiaGazette