Pesta Ponggal merupakan pesta keramaian bagi merayakan hasil tuaian padi dan masakan nasi Ponggal akan ditanak dengan menggunakan beras dari hasil tuaian yang pertama.

KUALA LUMPUR – Semua penganut agama Hindu diminta menyelami semangat dan simbolik di sebalik perayaan Ponggal bagi membentuk pertumbuhan ekonomi yang lebih mantap.

Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Johor (JICCI),Tan Sri Kenneth Eshwaran berkata, sambutan Ponggal amat bermakna untuk penganut agama berkenaan kerana ia menandakan limpahan rezeki setiap kali musim menuai tiba.

MGF07052018_KITAGEMILANGBERSAMADATUKSERINAJIBDANBARISANNASIONAL_08
Tan Sri Kenneth Eswaran

Menurut beliau, tradisi memasak bubur manis setiap kali sambutan Pongal itu adalah lambang kepada kemewahan hasil pertanian yang juga simbolik kepada kekukuhan aspek pertanian.

“Esok, keseluruhan masyarakat India akan menyambut pesta Ponggal yang merupakan perayaan menuai yang disambut selama empat hari pada bulan Thai di dalam kalendar kaum India.

“Ia sempena berakhirnya musim menuai, di mana hasil tuaian ditujukan kepada Suriabhagawan atau Dewa Matahari, bersempena dengan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ponggal kepada semua yang menyambutnya dengan semangat baharu dan positif,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Jelas Kenneth, tidak keterlaluan jika Ponggal dianggap sebagai satu restu untuk ahli perniagaan khususnya di kalangan masyarakat India negara.

“Saya melihat Ponggal memiliki kaitan rapat dengan dunia perniagaann dan saya positif, Ponggal tahun ini akan membawa sinar baru kepada kami.

“Semoga ia membuka lebih banyak peluang untuk komuniti perniagaan India meneroka pasaran baru, sekali gus menjana pertumbuhan perniagaan khususnya untuk pasaran baru muncul,” ujarnya.

 

Pesta Ponggal merupakan pesta keramaian bagi merayakan hasil tuaian padi dan masakan nasi Ponggal akan ditanak dengan menggunakan beras dari hasil tuaian yang pertama.

Ia dianjurkan oleh masyarakat India sebagai tanda berterima kasih kepada Dewa Matahari (Sooriyan) kerana usaha mereka telah membuahkan hasil.

Sebelum menyambut perayaan tersebut, penganut Hindu akan membeli belanga yang diperbuat daripada tanah liat sebagai persediaan menyambut perayaan Ponggal atau pesta menuai.

Ini bagi membolehkan mereka memasak susu bercampur beras dalam belanga itu di halaman rumah dan ketika ia melimpah keluar, mereka perlu menyebut ‘Ponggaloo Ponggal’.

Selain itu, mereka perlu menghias rumah dengan mengikat batang tebu dan daun pokok mangga.

Perayaan yang disambut setiap tahun pada minggu kedua bulan Januari ini, diraikan para petani sebagai tanda kesyukuran kepada Tuhan kerana segala titik peluh mereka membuahkan hasil.

Ponggal atau hari kesyukuran bagi masyarakat India itu diraikan pada hari terakhir bulan Margli menurut kalendar Hindu, atau 14 atau 15 Januari setiap tahun. – MalaysiaGazette