Wee Ka Siong

BRINCHANG – Sudah sampai masanya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) meminda semula definisi ‘sukarelawan’ dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ketika ini tidak menerima balasan dalam khidmatnya.

Presiden MCA, Wee Ka Siong berkata, istilah berkenaan perlu ditambah baik, sesuai dengan amalan parti pemerintah itu yang mengamalkan pemberian ganjaran kepada sukarelawannya ketika bertugas pada hari penamaan calon, Sabtu lalu.

“Saya minta semua negara ubah definisi sukarelawan. Kalau kita kata sukarelawan, dia semak kamus apa? Apa maksud sukarelawan? Orang yang akan memberi khidmat tanpa menerima sebarang ganjaran.

“Takkan kita nak ubah definisi sukarelawan di bawah Malaysia baharu di mana sukarelawan ini adalah orang yang berkhidmat tetapi boleh diberi ganjaran termasuk duit minyak dan lain-lain. Adakah itu yang mereka maksudkan,” katanya pada sidang media di Hotel Titiwangsa, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan dialog bersama pemimpin akar umbi MCA Cameron Highlands dengan calon Barisan Nasional (BN), bekas Asisten Komisioner Polis, Ramli Mohd Nor secara tertutup di hotel berkenaan.

Beliau mengulas penularan beberapa gambar seorang wanita berbaju Pakatan Harapan dipercayai petugas kempen Pilihan Raya Kecil (PRK), Cameron Highlands yang dilihat mengagihkan wang tunai kepada beberapa individu.

Gambar tersebut kelihatan seolah-olah jentera kempen PH Cameron Highlands sedang mengagihkan wang kepada beberapa individu memakai baju PH dipercayai komuniti orang asli di sebuah hotel, di Tanah Rata, awal pagi semalam.

Ka Siong juga berkata, Kerajaan PH tidak boleh menipu kerana gambar berkenaan telah tular di media sosial dengan jelas menunjukkan baju yang dipakai oleh pelaku dan penerima bukan baju lama.

“Ini bukan gambar lama, Harapan baru dapat pendaftaran selepas PRU14, dia tak boleh ‘kelentong’ pasal baju dulu lambang PKR di depan tapi sekarang Harapan.

“Ini bermaksud baju itu sendiri dapat kita kenal pasti memang berlaku baru-baru ini dan ianya patut disiasat.

“Jadi orang Cameron Highlands akan menilai, mereka akan jadi hakim. Saya pun tidak tahu apakah hujah yang akan dikeluarkan oleh kerajaan esok bersangkut-paut dengan apa yang berlaku pada hari ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette