Seorang sarjan tentera antara lapan lelaki Orang Asli yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki enam tahun lalu.
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan menghalang penjawat awam dan melakukan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, Selangor, bulan lalu.

M. Chandran, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Nurshahirah Abdul Salim.

Dia bersama-sama dua orang yang telah dituduh dan beberapa lagi yang masih bebas, didakwa telah menghalang penjawat awam iaitu Pegawai Kanan Polis Insp Mohd Nazmi Zulkafli, Sjn Mohamad Faiz Abdul Rahim dan Kpl Ahmad Zamran Mat daripada menjalankan tugas-tugas dan fungsi jawatan mereka.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa bersama-sama 50 orang yang telah dituduh dan beberapa lagi yang masih bebas, sebagai satu ahli kumpulan yang menyalahi undang-undang di mana tujuan bersama adalah untuk menghalang laluan kenderaan kereta peronda polis untuk keluar dari kawasan kuil tersebut dengan menggunakan kekerasan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di laluan hadapan kuil tersebut di USJ 25, Subang Jaya pada 1.30 petang, 26 Nov tahun lalu mengikut Seksyen 186 dan 147 Kanun Keseksaan yang masing-masing membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda yang boleh sampai RM10,000 serta penjara maksimum dengan tempoh sama atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir, seorang penganggur turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan sebuah kenderaan di kuil sama, pada 4.30 pagi, 25 Nov tahun lalu.

A. Janagan, 33, bersama beberapa orang lagi yang masih bebas didakwa merosakkan kenderaan pacuan empat roda, Nissan Navara dengan nombor pendaftaran, WVS 3776 milik syarikat Modular Construction Technician.

Pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Chandran diikat jamin RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin manakala Janagan dibenarkan ikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri dua kali sebulan di balai polis berhampiran.

Mahkamah menetapkan 15 Feb untuk sebutan semula kesemua kes.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee dan Nor Baizura Mohd Saubian manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam R. Balamurali. – MalaysiaGazette