Tengku Abdul Rahman
Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah (kanan) berkenan bercakap pada sidang media diiringi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (kiri) berhubung pengumuman pemangku Raja Pahang sebagai Sultan Pahang yang baharu di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang. foto FAREEZ FADZIL, 12 JANUARI 2019

PEKAN – Sultan Pahang yang baharu Sultan Abdullah Ahmad Shah menitahkan supaya kalimah ‘Allahu Akbar’ yang bermaksud Allah Maha Besar dilaungkan pada istiadat pemasyhuran baginda sebagai Sultan Pahang keenam di Istana Abu Bakar di sini, esok.

Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Ahmad Shah yang berkongsi perkara itu berkata kalimah terbesar umat Islam itu akan dilaungkan sebanyak empat kali sebelum diikuti laungan ‘Daulat Tuanku’ tiga kali.

Tengku Abdul Rahman berkata laungan ‘Allahu Akbar’ merupakan sebahagian daripada perkara baharu yang dilakukan pada istiadat pemasyhuran Sultan Pahang, yang kali terakhir berlangsung pada 45 tahun dahulu.

“Sudah tentu ‘Daulat Tuanku’ adalah adat yang sudah lama dilaksanakan dan kali ini ada sedikit perubahan dilakukan kerana sebelum ini pemasyhuran berlaku kerana kemangkatan (sultan sebelumnya).

“Jadi pemasyhuran ini suatu yang luar biasa dan ada yang kita ‘re-adjusting’… kita bersedia sebaik mungkin dan berharap semuanya selamat serta dirahmati Allah esok,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri raptai istadat pemasyhuran di sini, hari ini.

Tengku Abdul Rahman memaklumkan mengenai undangan seramai 1,600 tetamu pada istiadat itu terdiri daripada kerabat, barisan kepimpinan kerajaan negeri dan wakil masyarakat termasuk ketua kampung di negeri ini.

Bagaimanapun, disebabkan ruang balairung yang terhad, hanya 800 tetamu yang dapat menyaksikan istiadat pemasyhuran itu secara langsung, manakala tetamu lain dapat mengikuti istiadat tersebut menerusi skrin besar dari dewan bersantap.

Ditanya sama ada Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah akan berangkat ke istiadat esok, Tengku Abdul Rahman berkata keadaan kesihatan ayahandanya tidak mengizinkan baginda untuk berbuat demikian.

Sultan Abdullah akan dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang ke-enam esok, ekoran penyerahan takhta kepada baginda, berikutan kegeringan yang besar dan berat yang dialami Sultan Ahmad Shah.

Sultan Pahang dan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah turut berangkat mencemar duli meluangkan masa hampir setengah jam menyaksikan raptai istiadat pemasyhuran yang diadakan di Balairung Seri itu. – BERNAMA