Gambar-gambar Mat Sabu ketika berada di hari penamaan calon PRK Cameron Highlands pada Sabtu lalu. foto FB Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak bertanya kepada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu sejak bila proses penamaan calon pilihan raya menjadi urusan rasmi kementerian itu.

Soalan itu ditanyakan selepas Mohamad dilihat hadir semasa proses penamaan calon untuk Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands pada Sabtu lalu.

Sebelum ini, gambar-gambar Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu menggunakan helikopter kerajaan di Cameron Highlands tular dan mendapat kritikan orang ramai.

Bagaimanapun Mat Sabu menafikannya dengan memberi alasan ia lawatan rasminya sebagai menteri yang telah dirancang awal.

“Tetapi pada hari yang sama pula, Mat Sabu dinampak hadir semasa proses penamaan calon untuk PRK Cameron Highlands untuk memberi sokongan kepada calon PH dari parti DAP.

“Sejak bila proses penamaan calon parti DAP sudah menjadi urusan rasmi Kementerian Pertahanan?” soal bekas Perdana Menteri itu.

Najib berkata, sebelum PRU-14, DAP dan Bersih sering menuduh kerajaan Barisan Nasional menyalahgunakan kenderaan rasmi kerajaan untuk urusan pilihan raya.

“DAP dan BERSIH tak nampak? Masih bisu? Atau Mat Sabu akan claim duit minyak untuk helikopter dari DAP nanti?,” sindir Najib sambil menitip pesanan kepada Mat Sabu supaya jangan malu buat tuntutan daripada Lim Kit Siang. – MalaysiaGazette