Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri AbdulAzeez Abdul Rahim berjalan keluar selepas selesai hadir untuk didakwa berikutan terima rasuah RM5.2 juta dan melakukan pengubahan wang haram RM139 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram sepanjang sembilan tahun lalu.

Abdul Azeez, 53, didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta daripada Pengarah Syarikat Menuju Asas Sdn. Bhd., Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah sebagai upah kerana telah membantu syarikat tersebut mendapatkan projek-projek pembinaan jalan raya di Perak dan Kedah antara 8 Disember 2010 dan 10 April 2018.

Semua pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bekas Pengerusi Tabung Haji itu juga didakwa atas sembilan pertuduhan melakukan pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah hampir RM140 juta daripada empat buah syarikat dan perbuatan itu didakwa dilakukan di sekitar Lembah Klang di sini antara tahun 2010 dan 2018.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) Akta yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, abang Abdul Azeez, Datuk Abdul Latif, 61, turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan bersubahat dengan adiknya menerima rasuah berjumlah RM4 juta bagi beberapa projek pembinaan lebuh raya dan naik taraf jalan raya.

Bagi pertuduhan itu, ia dikemukakan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan dibaca bersama seksyen 16(a)(A) dan seksyen 24(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kedua mereka bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi dan Rozina Ayub.

Pendakwaan diketuai oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang dilantik menjadi Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam-peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos, M. Athimulan dan Hisyam Teh Poh Teik.

Mahkamah membenarkan Abdul Azeez diikat jamin RM800,000 dan Abdul Latif RM500,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan 27 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Abdul Azeez dan abangnya ditahan pukul 4.30 petang semalam ketika hadir ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. – MalaysiaGazette