KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli tidak kisah walaupun dirinya dikritik teruk gara-gara agihan beg sekolah yang terpampang wajah beliau sebelum ini.

Hari ini, beliau membuat kejutan lagi apabila menyampaikan sumbangan 10,000 baju kemeja dan kurung kepada 10 buah sekolah di kawasannya.

Lebih menarik lagi apabila sumbangan baju itu memaparkan label sumbangan “YB Shaid Rosli” di kolar baju.

Dalam satu kenyataan Shaid berkata, pemberian pemberian beg dan baju sekolah ini mungkin yang pertama sekali dianjurkan di negeri ini membabitkan semua murid sekolah rendah di dalam DUN.

“Saya menyedari penduduk di kawasan DUN ini tidak semuanya senang dan mempunyai pendapatan yang mencukupi.

“Jadi, bantuan yang kita serahkan ini diharap dapat mengurangkan beban mereka terutama yang datang dari keluarga kurang berkemampuan.

 

“Saya mahu pastikan kebajikan dan fasiliti semua sekolah di DUN Jeram.

“Minggu depan saya akan berjumpa dengan pegawai khas Menteri Pendidikan bagi memanjangkan permasalahan dihadapi warga pendidikan di sini termasuk isu kekurangan meja, kerusi dan sebagainya,” katanya menerusi kenyataan itu.

WhatsApp Image 2019-01-16 at 12.52.25 PM
Mohd Shaid bergambar bersama pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Puncak Alam 3, selepas memeberikan sumbangan baju sekolah kepada murid-murid di sekolah itu.

Menurut Shaid lagi, beliau akan mengadakan satu mesyuarat dengan semua pengetua, guru besar, Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG), dan Pegawai Pendidikan Daerah bagi membincangkan langkah bagi memastikan keperluan sekolah mencukupi.

“Wakil rakyat tiada peruntukan khusus untuk sekolah.

“Peruntukan yang ada hanya untuk rakyat, yang dipecahkan kepada pembangunan, sumbangan dan program. Orang susah perlu diberi keutamaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette