Saifuddin Abdullah
Datuk Saifuddin Abdullah

PUTRAJAYA – Kabinet memutuskan Malaysia tidak akan menjadi tuan rumah sebarang program atau acara termasuk sukan yang membabitkan penyertaan warga Israel, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Pada mesyuarat Kabinet dua minggu lepas, beliau berkata, Jemaah Menteri juga memutuskan wakil Israel tidak dibenarkan masuk ke Malaysia untuk menghadiri sebarang acara dan program.

“Keputusan kabinet dua minggu lepas menunjukkan pendirian tegas kerajaan Malaysia,” katanya pada sidang media selepas menerima memorandum daripada 43 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong pembebasan Palestin di Wisma Putra di sini hari ini.

Sebelum itu, Saifuddin menerima memorandum yang diserahkan Pengerusi Boycott Divesment Sanctions (BDS) Malaysia, Prof Dr Mohd Nazari Ismail yang menyatakan sokongan terhadap tindakan kerajaan Malaysia yang tidak membenarkan atlet Israel memasuki negara ini.

I thanked all of you for coming up with a memorandum in supporting the pledge for Palestine. We look forward to work closely pertaining brothers and sisters in Palestine,” he said.

(“Saya berterima kasih kepada anda semua yang tampil dengan satu memorandum menyokong rayuan bagi Palestin. Kami menanti untuk bekerjasama erat berhubung saudara di Palestin,” katanya.)

Pada 10 Januari, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa kerajaan kekal dengan pendirian untuk tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak yang akan berlangsung bermula 29 Julai hingga 4 Ogos hadapan.

Dr Mahathir berkata, sekiranya skuad Israel itu tetap berdegil mahu menyertai kejohanan berkenaan maka ia adalah satu kesalahan.

Tindakan Malaysia yang tidak membenarkan atlet Israel menyertai kejohanan itu yang mengundang bantahan Jawatankuasa Olimpik Israel yang memberi tekanan berterusan kepada penganjur agar atlet mereka diberikan visa.

Kejohanan itu dilihat sebagai platform penting bagi kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020. ― Bernama