PR1MA

KUALA LUMPUR – Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) mengumumkan pelantikan Ketua Pegawai Kewangannya (CFO), Mohd. Nazri Md. Shariff sebagai pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuatkuasa serta-merta.

Beliau menggantikan Datuk Abdul Mutalib Alias yang telah berkhidmat sejak Julai 2011 memutuskan untuk tidak memperbaharui kontraknya.

Mohd. Nazri yang menyertai PR1MA pada 2016 pernah berkhidmat sebagai CEO dan CFO Kumpulan Tradewinds (M) Bhd. dan anak-anak syarikatnya bagi operasi dalam dan luar negara.

“Mohd. Nazri memulakan kerjaya di sebuah firma akauntan bertauliah di United Kingdom dan sekembalinya ke Malaysia, beliau berkhidmat dengan pelbagai bank komersial dan pelaburan serta syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Malaysia seperti Padiberas Nasional, Tradewinds Plantation Bhd., Gas Malaysia Bhd. dan Pernas International Holdings Group.

“Beliau memiliki hampir 30 tahun pengalaman bekerja dan pernah memegang pelbagai jawatan kanan dalam syarikat-syarikat berkenaan,” kata PR1MA dalam satu kenyataan di sini hari ini. – MalaysiaGazette