Gambar-gambar Mat Sabu ketika berada di hari penamaan calon PRK Cameron Highlands pada Sabtu lalu. foto FB Najib Razak

KUALA LUMPUR – Dakwaan Menteri Pertahanan menggunakan kenderaan rasmi kerajaan untuk berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Cameron Highlands baru-baru ini adalah tidak benar sama sekali.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataannya berkata, gambar pertama yang memaparkan Mohamad Sabu yang berlatar belakangkan helikopter adalah lawatan rasmi beliau sebagai Menteri Pertahanan ke Kem Slim, Cameron Highlands pada 9 Januari 2019.

Beliau telah pulang ke Kuala Lumpur pada hari yang sama selepas selesai lawatan.

Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, lawatan rasmi tersebut tidak ada kena mengena dengan pilihan raya kerana kesemua anggota tentera di Kem Slim tersebut adalah pengundi di Parlimen Sungai Petani, Kedah dan bukannya di
Parlimen Cameron Highlands.

Tambahnya, gambar kedua yang memaparkan Mohamad hadir semasa penamaan calon PRK Cameron Highland adalah pada hari Sabtu, 12 Januari.

Mohamad telah bertolak ke Cameron Highlands pada 11 Januari adalah menggunakan jalan darat dengan menaiki kenderaan persendirian dan pulang ke Kuala Lumpur selepas selesai penamaan calon.

“Adalah jelas sekali bahawa kedua-dua gambar tersebut adalah pada hari dan tarikh yang berlainan. Kementerian Pertahanan meminta agar pihak-pihak tertentu memeriksa terlebih dahulu untuk kesahihan maklumat sebelum menyebarkan perkara tidak benar,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Mohamad telah bertolak ke Cameron Highlands pada 11 Januari adalah menggunakan jalan darat dengan menaiki kenderaan persendirian dan pulang ke Kuala Lumpur selepas selesai penamaan calon.

Semalam dalam hantaran di Facebook. Datuk Seri Najib Razak berkata, gambar-gambar Menteri Pertahanan menggunakan helikopter kerajaan di Cameron Highlands pada Sabtu lalu menerima kritikan orang ramai.

Katanya, walaupun Mohamad telah menafikan dengan memberi alasan ia adalah lawatan rasmi yang dirancang awal tetapi pada hari sama, Menteri Pertahanan itu dilihat hadir semasa proses penamaan calon.

Lantaran itu, Najib mempersoalkan sejak bila proses penamaan calon menjadi urusan rasmi Kementerian Pertahanan. – MalaysiaGazette