Annuar Musa
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa (tengah) diiringi Calon Barisan Nasional, Ramli Mohd Noor (dua kanan) beramah mesra dengan belia yang hadir pada Program Makan Malam Bersama Pengundi Anak Muda sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Restoran Ikhwan, Tanah Rata, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 15 JANUARI 2019.

TANAH RATA – UMNO masih tidak membuat sebarang keputusan berhubung permohonan enam bekas ahli Parlimen parti itu untuk kembali menyertai parti Melayu itu.

Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa berkata, setakat ini pihaknya masih tidak menerima sebarang borang permohonan keahlian parti itu daripada enam individu terbabit.

“Buat masa ini walaupun ada dibincangkan tapi tiada keputusan yang khususnya mengenainya. Belum sampai (borang) ke meja saya, walaupun saya ada dengar perkhabaran secara tak rasmi,” katanya ketika ditemui pemberita ke Majlis Makan Malam Calon Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd Nor bersama pengundi anak muda Cameron Highlands, di sini, hari ini.

Tan Sri Annuar Musa
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Anuar Musa diiringi Calon Barisan Nasional, Ramli Mohd Noor bergambar dengan belia yang hadir pada Program Makan Malam Bersama Pengundi Anak Muda sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Restoran Ikhwan, Tanah Rata, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 15 JANUARI 2019.

Beliau mengulas hasrat enam bekas ahli Parlimen UMNO yang membuat pusingan U dan mahu kembali menyertai parti Melayu itu.

Annuar juga berkata, UMNO merupakan sebuah parti politik terbuka dan sedia berbincang dengan mana-mana pihak yang berhasrat menyertai parti itu termasuklah bekas wakil rakyatnya.

“UMNO adalah sebuah parti terbuka dan dalam situasi sekarang ini kita memahami kesukaran yang dilalui oleh kawan-kawan kita yang menyebabkan mereka membuat keputusan-keputusan tertentu.

“Tapi mereka adalah kawan-kawan kita, kita kekalkan hubungan peribadi yang baik dengan mereka, jadi kalau mereka berubah fikiran itu satu perkara boleh kita bincangkan.

“Tidak serupa kes berpatah arang bengkak rotan, itu tidak. Kita memahami situasi politik semasa dan kita tidak boleh memutuskan sama sekali begitu sahaja.

“Sedangkan yang bermusuh dengan kita seperti kawan-kawan dalam Pas pun kita boleh duduk berbincang dan berta’aun, apatah lagi bekas ahli-ahli UMNO,” katanya.

Ditanya tentang perkembangan tindakan undang-undang kepada bekas wakil rakyatnya yang berpaling tadah selepas 9 Mei lalu, beliau berkata, pihaknya sudah memulakan langkah tersebut.

“Dua bekas ahli Parlimen (diambil tindakan) di mana peguam-peguam kita telah menghantar notis saman.

“Satu ialah Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin dan Ahli Parlimen Bagan Serai,” katanya lagi. – MalaysiaGazette