Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. foto SYAFIQ AMBAK, 17 DISEMBER 2018
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. foto SYAFIQ AMBAK, 17 DISEMBER 2018

KUALA LIPIS – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual turun berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, pada hari terakhir kempen, 25 Jan ini.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata kehadiran Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sudah tentu akan membantu meningkatkan sokongan kepada PH.

“Kami meletakkan harapan pada beliau,” katanya pada sidang media sewaktu melancarkan slogan PH ‘Pembangunan Bersama Harapan’ di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Pahang Fuziah Salleh dan calon PH bagi PRK berkenaan M. Manogaran.

Bagaimanapun, Lim berkata aturcara Dr Mahathir sepanjang kempennya di kawasan Parlimen berkenaan belum diputuskan lagi.

Selain Dr Mahathir, turut turun berkempen pada PRK berkenaan ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah yang dijadualkan pada 23 Jan ini, dan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada minggu ini.

Sementara itu, Fuziah berkata PH akan memberi tumpuan utama kepada kawasan Dewan Undangan Negeri Jelai memandangkan DUN berkenaan berada di bawah BN yang diwakili Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Di DUN Tanah Rata kita ada kekuatan kita di sana,” katanya.

Mengenai slogan yang dilancarkan hari ini, Manogaran berkata ia amat sesuai dan tepat untuk digunakan memandangkan kerajaan Persekutuan ditadbir PH.

“Bila masa kempen, kita buat tinjauan dengan isu di Koyan, Jelai dan Cameron Highlands adalah pembangunan, daripada segi peluang perniagaan, pekerjaan dan sebagainya.

“Dengan keperluan itu, kita lancarkan hari ini slogan yang selaras dengan aspirasi penduduk Cameron Highlands,” katanya.

— BERNAMA