Datuk Seri Najib Tun Razak
Najib Razak

TANAH RATA – Firma pelaburan antarabangsa, Goldman Sachs perlu bertanggungjawab sekiranya didapati gagal menguruskan pelaburan 1Malaysia Develeopment Berhad (1MDB).

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Goldman Sachs tidak sepatutnya memberi pelbagai alasan kerana mereka telah dilantik dan dibayar oleh 1MDB.

“Kita (kerajaan) meletakkan satu sistem dan ia bertujuan menguruskan kekayaan negara.

“Kalau dia (Goldman Sachs) gagal, mereka perlu ambil tanggungjawab kerana mereka dilantik dan dibayar oleh 1MDB untuk menjaga pelaburan kita,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Raja, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs, David Solomon membuat permohonan maaf kepada rakyat Malaysia atas dakwaan pembabitan syarikat itu dalam skandal 1MDB.

Ia susulan peranan bekas rakan kongsi Asia Tenggara firma itu, Tim Leissner yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Bagaimanapun, Solomon mempertahankan firma itu yang didakwa turut jadi mangsa dalam skandal 1MDB.

Disember lalu, kerajaan menuntut ganti rugi sebanyak AS$7.5 bilion (RM30.81 bilion) daripada Goldman Sachs.

Jabatan Kehakiman AS (DOJ) pada awal November mendakwa bekas jurubank Goldman Sach, Tim Leissner dan seorang lagi bersama ahli perniagaan yang kini menjadi buruan, Jho Low, atas pelbagai tuduhan jenayah berkaitan skandal 1MDB. – MalaysiaGazette