Datuk Seri Saifuddin Nasution. foto IQBAL BASRI, 07 JANUARI 2018
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. foto IQBAL BASRI, 07 JANUARI 2018

PARIT BUNTAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengarahkan bahagian penguatkuasa kementerian mempertingkatkan pemantauan terhadap harga makanan dan minuman.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan itu bagi memastikan setiap premis perniagaan makanan memaparkan tanda harga, tidak menaikkan harga serta meletakkan tanda harga yang mengelirukan.

“Pemantauan dan pemerhatian itu akan dilaksanakan di pasar raya, pasar, pasar borong dan premis runcit termasuk di kantin sekolah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan kilang Harta Packaging Industries (Perak) Sdn Bhd di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan beliau berhubung aduan mengenai kenaikan harga makanan dan minuman mendominasi purata 4,000 aduan yang diterima kementeriannya setiap bulan.

Beliau turut memberi amaran kepada operator kantin di sekolah-sekolah supaya tidak menaikkan harga makanan dan minuman sesuka hati.

“Ini melibatkan kebajikan anak-anak sekolah. Apabila tender kantin telah diproses dan dianugerahkan kepada operator kantin terbabit, itu tidak bermakna jika berlaku kenaikan harga, pihak operator kantin terlepas dari aspek kawalan dan pemantauan kementerian.

“Sebut harga, proses tender adalah mengikut prosedur dan mekanisme yang ditentukan oleh pihak Kementerian Pendidikan dan sekolah. Tapi kalau berlaku tidak letak tanda harga dan kenaikan harga jualan makanan dan minuman tidak seperti spesifikasi tender, itu memerlukan pemerhatian dan pemantauan oleh KPDNHEP,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata, kementerian juga menyambut baik langkah Pemuda UMNO menubuhkan sekretariat bagi memantau harga barang.

Beliau berkata, ia merupakan langkah terpuji dalam usaha menangani kos sara hidup kerana ia memerlukan penglibatan semua pihak.

“Saya juga meminta pegawai saya di bahagian penguatkuasa dan Majlis Harga Barang Negara supaya turut memberi perhatian hasil dari kerja Pemuda UMNO Malaysia.

“Usaha Pemuda UMNO ini selaras dengan usaha KPDNHEP melalui program pendidikan pengguna yang menjadi dasar kementerian,” katanya.

Semalam, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya akan mengerahkan kesemua ketua pemuda bahagian setiap negeri untuk melakukan pemantauan berkenaan yang dijangka bermula bulan hadapan. – Bernama