Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bercakap kepada media pada sesi santai petang di Bangsar Shopping Centre, Bangsar, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 17 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Satu perhimpunan bagi menperjuangkan nasib golongan penoreh getah akan diadakan pada bulan depan.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, tujuan perhimpunan itu diadakan berikutan keadaan  golongan tersebut yang terpaksa bergelut untuk hidup ekoran  kenaikan kos sara hidup.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, perhimpunan dirancang diadakan di Baling dan Sik di Kedah kerana terdapat jumlah ribuan penoreh getah di kawasan itu.

“Bila Pakatan Harapan (PH) sudah jadi kerajaan, macam-macam mereka boleh buat.

“Paling mudah beri bantuan sara hidup. Tapi bantuan masa musim tengkujuh pula dihentikan.

“Masa Barisan Nasional dulu kita bagi juga sebab boleh ringankan beban golongan penoreh getah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pada sesi Teh Tarik Bersama Media di Bangsar di sini hari ini.

Tajuddin menambah kerajaan PH perlu memikirkan perancangan jangka panjang buat penoreh getah, selain memberi bantuan pada waktu yang diperlukan.

Jelas beliau, strategi perlu dirangka bagaimana untuk meningkatkan pendapatan golongan itu secara berterusan pada masa akan datang.

“Contoh bagi produk getah, kerajaan boleh mewujudkan nilai tambah kepada komoditi itu.

“Ini toreh dan beku susu getah serta jual untuk selama-lamanya dan bergantung dengan hasil getah sekerap.

“Dengan produk getah ini banyak orang jadi kaya namun yang tak kaya-kaya penoreh getah.

“Produk getah seperti sarung tangan dan tayar mempunyai pasaran yang besar dan kerajaan perlu fikir di luar kotak dan berjiwa besar,” katanya.

Tajuddin memberitahu, beliau pernah melontar idea-idea untuk membangunkan golongan penoreh getah namun kapasitinya sebagai Timbalan Menteri ketika itu tidak boleh membantu.

“Idea-idea sudah lama saya fikir ketika menjadi Timbalan Menteri tapi tidak mempunyai kuasa yang besar.

“Saya tiada dalam Kabinet dan jawatan Timbalan Menteri tiada apa-apa pun.

“Yang berkuasa adalah jawatan Menteri,” katanya.

Tajuddin memberi contoh syarikat getah seperti Supermax yang tidak mempunyai susu getah namun berjaya mendirikan kilang memproses susu getah.

“Kita ada komoditi tapi tidak kayakan penoreh getah tapi kayakan orang lain.

“Tiada boleh diri kilang untuk penoreh getah sebab tidak ada modal bukan lagi alasan kerana apa gunanya ada Agrobank, SME Bank dan Pembangunan pada hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette