Proton

KUALA LUMPUR – Proton Automobiles China Ltd (PACL) anak syarikat tidak langsung Proton Holdings Bhd telah di saman sebanyak RMB860.61 juta (RM522.91 juta) oleh bekas rakan kerjasamanya.

Tuntutan saman itu dibuat di Mahkamah Tinggi Guangdong China.

PACL dan Syarikat Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB) dinamakan sebagai defendan dalam aduan awam yang dinamakan oleh Goldstar Heavy Industrial Co Ltd.

Kedua-dua syarikat ini perlu hadir ke mahkamah pada 9 Julai ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, DRB-Hicom berkata, tuntutan itu berkaitan dengan kontrak dalam pemilikan 50.1 peratus kepentingan dalam subsidari Proton, Lotus Group International Ltd (LGIL) dan Goldstar pada 17 April 2015 bagi mewujudkan syarikat kerjasama – Goldstar Lotus Automobile Co. Ltd (GLAC).

PACL adalah anak syarikat milik penuh PONSB dan PONSB adalah anak syarikat Proton Holdings Berhad yang dikuasai DRB-Hicom sebanyak 50.1 peratus.

Proton pula mempunyai 40 peratus kepentingan GLAC, LGIL 10 peratus dan Goldstar 10 peratus.

GLAC sepatutnya menghasil dan menjual kereta jenama Lotus dan alat ganti termasuk menyediakan perkhidmatan selepas jualan di China.

Bagaimanapun, selepas gagal memperoleh lesen pengeluaran dengan lanjutan tarikh akhir pada 31 Disember 2017, kontrak kerjasama itu telah dibatalkan pada 22 Januari tahun lalu.

Berikutan itu, GLAC tidak dapat memulakan operasi perniagaan.

DRB-Hicom berkata, ia dan penasihat undang-undangnya mengkaji semula tuntutan yang diminta oleh Goldstar dan akan mengambil semua langkah yang perlu untuk mempertahankannya.

“Kumpulan itu akan membuat pengumuman lanjut apabila ada perkembangan penting,” katanya.

DRB-Hicom juga menegaskan bahawa saman undang-undang semasa tidak akan melibatkan Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd kerana kepentingan ekonomi Proton dan LGIL dalam GLAC dipindahkan ke DRB-Hicom pada 29 September 2017. – MalaysiaGazette