Ringgit gagal mengekalkan kenaikannya semalam apabila dibuka rendah pagi ini berbanding dolar AS apabila para pelabur beralih kembali kepada aset lebih berisiko, kata para peniaga.

KUALA LUMPUR – Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini apabila para pelabur kekal tidak memasuki pasaran berikutan kebimbangan geopolitik terhadap perkembangan yang berlaku di United Kingdom (UK), China dan Amerika Syarikat (AS).

Pada 6 petang, ringgit berada pada 4.1120/1150 berbanding Dolar AS daripada 4.1090/1110 pada Rabu.

Seorang peniaga berkata, pelabur bimbang dengan kesan daripada Brexit, susulan desakan Perdana Menteri Britain, Theresa May yang ingin mendapatkan konsensus pelbagai parti selepas terselamat daripada undi tidak yakin semalam.

“Sementara itu, perang perdagangan antara AS dan China dijangka memasuki hala tuju baharu apabila Naib Perdana Menteri China Liu He akan melawat Washington, bermula 30 Jan,” katanya kepada Bernama.

Semasa lawatan dua hari beliau, Liu dijangka bertemu Wakil Perdagangan AS Robert Lighthizer dan Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin, dengan harapan akan mencapai kata putus perdagangan.

“UK, AS dan China adalah kuasa besar ekonomi dan Malaysia merupakan rakan dagangan dengan ketiga-tiga negara itu. Justeru itu, sebarang ketidaktentuan di rantau ini akan memberi kesan kepada mata wang tempatan,” kata peniaga itu.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0318/0344 daripada 3.0322/0355 pada Rabu dan naik berbanding euro kepada 4.6844/6895 daripada 4.6880/6923.

Ringgit juga menokok berbanding yen Jepun kepada 3.7811/7850 daripada 3.7826/7848 sebelumnya tetapi susut berbanding pound British kepada 5.2954/2009 daripada 5.2899/2941. – MalaysiaGazette