Ramli Mohd Nor
Calon Barisan Nasional, Ramli Mohd Noor bercakap kepada media selepas sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Pos Terisu, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 15 JANUARI 2019.

CAMERON HIGHLANDS – Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, Ramli Mohd Noor menafikan beliau berniat untuk menyertai gabungan kerajaan kelak.

Kata Ramli, dakwaan tersebut merupakan satu fitnah politik kotor yang sengaja disebarkan oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Ada satu media ‘online’ tempatan telah melaporkan bahawa saya akan menyertai gabungan kerajaan ataupun menjadi calon bebas di parlimen walaupun BN menang pada pilihanraya nanti.

“Jawapan saya, ini adalah sebuah fitnah politik dan tolong hentikan fitnah kotor ini.

“Di sini saya ingin menegaskan bahawasanya saya tidak akan sama sekali belot dalam perjuangan bersama BN terutamanya perjuangan kami dalam mengembalikan suara rakyat yang telah ditipu,” katanya sebentar tadi.

Malaysiakini melaporkan PH masih mampu merampas Cameron Highlands jika calon BN, Ramli Mohd Nor menyertai Pakatan Harapan (PH) selepas kemenangan.

Menurut sumber yang memegang jawatan tertinggi dalam sebuah parti komponen BN itu turut meramalkan kemungkinan lain Ramli menjadi anggota parlimen bebas.

Ramli menambah, beliau komited dalam berjuang dengan keikhlasan, kejujuran dan intergriti.

“Inilah prinsip yang saya selalu katakan dan amalkan dan ia sudah sebati dalam diri saya sebagai pesara polis.

“Saya percaya, rakyat kini sudah pandai menilai dan sedar permainan politik Pakatan Harapan yang sentiasa menjanjikan bulan dan bintang kepada mereka.

“Marilah bersama saya, kita hentikan penipuan dan fitnah Pakatan Harapan,” tegasnya. -MalaysiaGazette