Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pencerobohan dua lot tanah kerajaan di Medan Imbi, Bukit Bintang.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas enam lagi kotak dokumen berkaitan skandal projek Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang dianggarkan bernilai RM500 juta dalam serbuan di ibu pejabat suruhanjaya itu hari ini.

Ia merupakan serbuan kali ketiga sejak minggu lalu.

Difahamkan pegawai SPRMĀ  tiba kira-kira 11 pagi dan mengambil masa enam jam sebelum keluar dari Menara SSM di Jalan Stesen Sentral pada pukul 5.10 petang.

Sumber SPRM mengesahkan rampasan dokumen itu kepada MalaysiaGazette.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM sedang menyiasat anak seorang pegawai kanan agensi itu yang dipercayai terbabit dalam dakwaan skandal projek dianggarkan bernilai RM500 juta.

Pembabitan suspek berusia 20-an itu terbongkar, selepas SPRM menyerbu tiga syarikat dan ibu pejabat SSM pada 9 dan 14 Januari lalu.

Sebanyak 69 kotak dokumen dipercayai berkaitan kes itu dirampas dalam serbuan pertama pada 9 Januari lalu.

Susulan itu, dua lagi kotak dokumen dirampas SPRM Jumaat lalu.

Semua dokumen itu dirampas bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa, ketirisan kontrak, termasuk dakwaan rundingan terus yang dikatakan merugikan kerajaan. – MalaysiaGazette