Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap ketika sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil P.078 Parlimen Cameron Highlands di Pos Terisu, Pahang. Turut sama calon BN, Ramli Mohd Nor. foto HAZROL ZAINAL, 17 JANUARI 2019.

TANAH RATA – Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands bakal mencatat sejarah Malaysia sekiranya calon Barisan Nasional (BN) dalam kalangan orang asli diangkat menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah BN mencalonkan anak tempatan daripada kaum SemaiĀ  memberi peluang kepada Orang AsliĀ  mempunyai wakilnya dalam Dewan Rakyat.

“Selama ini mencari tokoh Orang Asli, kita ada Senator mewakili masyarakat Orang Asli tapi belum pernah lagi dalam sejarah Malaysia, Dewan Rakyat ada seorang Orang Asli mewakili masyarakat Orang Asli.

“Kita ada seorang yang saya anggap sebagai permata, saya anggap sebagai intan, yang boleh dijadikan ikon kepada masyarakat Orang Asli.

“Seorang bekas pegawai tertinggi polis, pangkat Asisten Komisioner polis, rupa dia pun macam rupa polis, orang ini mempunyai rekod cemerlang serta kelulusan.

“Dia bukan sahaja ada sarjana muda bahkan sarjana serta bakal mendapat PhD tak lama lagi,” katanya berucap di hadapan lebih 30 orang asli ketika kempen PRK Cameron Highlands di Pos Terisu, di sini, hari ini.

Dalam PRK Cameron Highlands pada 26 Januari ini, BN mempertaruhkan calon dalam kalangan Orang Asli iaitu bekas Asisten Komisioner polis, Ramli Mohd Nor.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, kerusi P078 dimenangi oleh Naib Presiden MIC, Datuk C Sivarraajh membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Bagaimanapun pada 30 November 2018, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan bahawa keputusan pilihan raya bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada 9 Mei lalu yang dimenangi Sivarrajh adalah terbatal dan tidak sah.

Hakim Datuk Azizah Nawawi membuat keputusan itu selepas terbukti wujud amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan oleh Sivarraajh.

Najib juga berkata, calon Orang Asli yang diletakkan BN bukan calang-calang, malah bapanya sendiri merupakan tokoh terbilang ketika zaman penentangan komunis di Tanah Melayu.

“Bapa dia seorang tokoh polis dalam Semai Perak dulu lawan komunis, dia adalah darah daging orang Semai di sini, bukan orang Jakun.

“Kalau ikut hukum Orang Asli, takkan Orang Asli tak sokong anak buah dia jadi ahli Parlimen di kawasan Cameron Highlands,” katanya lagi. – MalaysiaGazette