Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Pertandingan Kucing Antarabangsa dan perasmian perpustakaan mini Kelab Kucing Malaysia di ibu negara, baru-baru ini. Foto Selangor Royal Office

KUALA LUMPUR – Tengku Permaisuri Selangor lega dan berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Sesyen Selayang yang menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap pesalah yang melakukan kekejaman terhadap kucing di sebuah dobi layan diri  tahun lalu.

Tetapi, pada masa sama, Tengku Tengku Permaisuri Norashikin amat dukacita dan sedih kerana masih lagi berlaku beberapa insiden yang melibatkan kekejaman terhadap haiwan termasuk kes seekor anak kucing yang dipijak sehingga mati serta kes meracun dan membakar anjing.

Kata baginda, Akta Kebajikan Haiwan 2015 telah jelas memperuntukkan bahawa hukuman denda RM20,000 hingga RM100,000 dan/atau penjara sehingga 3 tahun boleh dikenakan terhadap sesiapa yang melakukan kekejaman terhadap haiwan.

Seorang lelaki yang videonya tular berhubung tindakan kejam bersama rakannya membunuh kucing yang dipercayai bunting dengan memasukkan haiwan itu ke dalam mesin pengering di sebuah dobi layan diri, dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini.

Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas pemandu teksi A. Mohanraj, 42, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah, pada sebutan kes hari ini.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 14 September 2018.

Lelaki itu didakwa bersama-sama seorang yang masih bebas dengan kejamnya menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap seekor kucing di premis dobi di Taman Gombak Ria, Batu Caves antara 12.54 tengah malam dan 1 pagi, pada 11 Sept tahun lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 29 (1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, Tengku Permaisuri Selangor mahu seluruh rakyat Malaysia untuk menyemai sifat kasih sayang dan belas kasihan terhadap haiwan-haiwan terbiar di jalanan yang tidak mampu untuk mempertahankan diri sendiri.

Malah, baginda menggesa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan majlis-majlis perbandaran di seluruh Selangor dan Malaysia supaya mengambil tindakan proaktif dalam mempromosikan ‘Caring and Compassionate Communities’ menerusi Pendidikan Perikemanusian bagi Pemilikan Haiwan Peliharaan Secara Berhemah dan Bertanggungjawab.

Ini termasuk menyebar luaskan inisiatif mengkasi atau pemandulan serta membina pusat perlindungan bagi menjaga haiwan-haiwan terbiar yang masih sihat dan tidak agresif ini.

Tengku Permaisuri Norashikin yang juga penaung diraja Kempen Stray Free Selangor The Humane and Compassionate Way bersama SPCA Selangor turut menggesa pihak berkuasa bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat yang prihatin membanteras sebarang bentuk perlakuan kejam terhadap haiwan. – MalaysiaGazette