CAMERON HIGHLANDS – Sebanyak 10 lokasi penyelenggaraan cerun secara kerja pembaikan dan 59 lokasi kerja pencegahan di Jalan Tapah-Cameron Highlands telah dikenalpasti untuk dilaksanakan dengan jumlah anggaran kos sebanyak RM 19.4 juta.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian yang mengadakan lawatan ke Cameron Highlands sejak semalam berkata, rancangan menyelenggara 10 lokasi cerun itu merupakan perancangan kerajaan bagi tahun 2019.

Kata Baru Bian, Kementerian Kerja Raya (KKR) sentiasa memberi perhatian dan komited untuk terus menyelenggara jalan dan cerun bagi kepentingan dan keselamatan pengguna jalan raya bukan sahaja di Jalan Tapah – Cameron Highlands (FT059) malah di seluruh negara .

“Salah satu tanggungjawab utama KKR adalah penyelenggaraan cerun di sepanjang Jalan Persekutuan di seluruh negara.

“Saya telah mengambil peluang pada pagi ini dari Cameron Highlands melalui laluan Persekutuan FT059 Jalan Tapah – Cameron Highlands di Daerah Batang Padang, Perak.

“Juga telah berkesempatan melawat dua lokasi kerja penyelenggaraan cerun iaitu di Seksyen 36 dan Seksyen 17.9 yang dilaksanakan KKR.

“Untuk makluman, bagi tahun 2018, KKR  telah menyiapkan kerja penyelenggaraan cerun runtuh di satu lokasi secara kerja pembaikan dan di 30 lokasi secara kerja pencegahan dengan jumlah kos sebanyak RM9.3 juta di sepanjang Jalan Tapah – Cameron Highlands,” katanya.

Laluan Persekutuan Jalan Tapah – Cameron Highlands merupakan jalan utama.

Jelas Baru Bian, walaupun laluan tersebut merupakan jalan lama, perhatian akan terus diberikan oleh kerajaan terhadap penyelenggaraan jalan dan cerun disamping jalan alternatif.

“Antara jalan alternatif ialah laluan FT185 Jalan Simpang Pulai – Blue Valley – Lojing- Gua Musang dan laluan FT102 Jalan Pos Betau- Lembah Bertam untuk menuju ke Cameron Highlands.

“Kita sentiasa memberi perhatian dan komited untuk terus menyelenggara jalan dan cerun bagi kepentingan dan keselamatan pengguna jalan raya bukan sahaja di Jalan Tapah – Cameron Highlands (FT059) malah di seluruh negara ,” ujarnya.

Tambah beliau, selain kerja penyelenggaraan cerun yang telah dan akan dilaksanakan, antara tindakan lain bagi mengurangkan risiko kejadian runtuhan cerun termasuk melaksanakan kerja-kerja penilaian dan pemetaan tahap bahaya dan risiko cerun di sepanjang Jalan Persekutuan.

“Kita mengumpul data dengan menggunakan teknologi-teknologi terkini seperti teknologi LIDAR serta pembangunan Sistem Amaran Awal dan Masa Nyata agar tanda-tanda awal keruntuhan cerun dapat diketahui dan maklumat berkaitan dapat disebarkan untuk keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Berdasarkan Belanjawan tahun 2019 yang telah diluluskan, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 20 juta di bawah peruntukan Kementerian Kerja Raya untuk kerja penyelenggaraan cerun di Jalan Persekutuan seluruh Malaysia.

Kementerian Kewangan (MOF) turut memberi jaminan akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM 90 juta lagi untuk kerja penyelenggaraan cerun di Jalan Persekutuan seluruh Malaysia. – MalaysiaGazette