Lim Guan Eng

PUTRAJAYA- Cameron Highlands patut dibangunkan bersama oleh kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Itu kenyataan sebenar Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Menurutnya, kenyataan yang pernah dibuat beliau mengenai pembangunan di Cameron Highlands akan dapat dilaksanakan sekiranya Pakatan Harapan (PH) diberikan kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil pada 26 Januari ini telah disalah ertikan.

“Kami tidak seperti Barisan Nasional, kami tidak menjanjikan sebarang wang atau pembangunan secara khusus.

“Apa yang saya katakan sebelum ini dan didengari oleh timbalan menteri saya adalah mengapa kita tidak membangunkan Cameron Highlands secara bersama iaitu oleh kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

“Ini kerana Pahang mempunyai hutang tertinggi di Malaysia iaitu RM1.3 bilion dan sekiranya pembangunan Cameron Highlands diserahkan kepada kerajaan negeri sahaja, saya risau ianya akan terbantut.

“Bagaimana mereka mahu mencari wang untuk melaksanakan pembangunan?

“Jadi, kenapa tidak kita bangunkan bersama-sama kerana kerajaan pusat juga mahu membangunkan kawasan tersebut,” katanya semasa sidang media di sini hari ini.

Guan Eng turut mengkritik media dengan mengatakan tersalah lapor kenyataan yang dibuat olehnya ketika berkempen itu.

Pada dua hari lepas, Guan Eng dilaporkan membuat kenyataan kerajaan pusat akan melaksanakan pembangunan di Cameron Highlands sekiranya menang PRK nanti.

Ia telah mengundang pelbagai reaksi termasuk oleh Bersih 2.0 yang mengkritik kenyataan tersebut yang disifatkan sebagai diskriminasi kepada rakyat di Cameron Highlands.-MalaysiaGazette