Kementerian Industri Utama (MPI)
Kementerian Industri Utama (MPI)

KUALA LUMPUR – Kementerian Industri Utama (MPI) akan mengadakan kunjungan di tiga buah negara sebagai misi ekonomi, promosi dan pelaburan bermula dari 18 hingga 26 Januari ini.

Tiga negara yang akan dikunjungi itu ialah Pakistan, Iran dan Turki.

Menerusi kenyataan kementerian itu memaklumkan, pertemuan itu dibuat bagi memberi penjelasan mengenai kelebihan
yang dimiliki oleh produk-produk komoditi Malaysia berbanding negara pengeluar lain.

“Ketiga-tiga negara berkenaan adalah merupakan antara pasaran utama kepada sektor komoditi negara seperti sawit, getah dan kayu kayan.

“Pada tahun 2017, nilai eksport ke Pakistan, Iran dan Turki bagi ketiga-tiga komoditi tersebut adalah masing-masing sebanyak RM3.05 bilion, RM2.48 bilion and RM 3.63 bilion.

“Oleh itu, misi perdagangan ini adalah penting bukan sahaja untuk memelihara kedudukan syer pasaran produk komoditi Malaysia di negara berkenaan terjamin malah untuk meningkatkan syer pasaran tersebut ke satu tahap yang lebih tinggi,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, pelbagai aktiviti telah diatur sepanjang misi berkenaan antaranya mengadakan persidangan, pembentangan seminar, perbincangan meja bulat, mesyuarat dua hala dan lain-lain diharapkan akan menghasilkan impak
yang berkesan sejajar dengan hasrat MPI untuk membawa industri komoditi negara ke tahap yang lebih cemerlang pada tahun ini dan tahun-tahun akan datang.

Delegasi tersebut akan diketuai Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua Setiusaha kementerian Datuk Dr Tan Yew Chong. – MalaysiaGazette