CAMERON HIGHLANDS – Presiden MyPPP, Tan Sri M. Kayveas menasihati pimpinan MIC untuk menumpukan perhatian dalam mendekati pengundi Cameron Highlands selain daripada memastikan kemenangan di kawasan itu.

Menurutnya, lebih baik untuk pemimpin parti itu bertindak ‘mengetuk’ pintu setiap pengundi di Cameron Highlands daripada ‘sibuk’ mencari lokasi rumah beliau.

“Buat apa cari rumah saya? Saya rasa adalah lebih baik beliau (Datuk C. Sivarrajh) dan pimpinan lain ketuk setiap pintu pengundi Cameron Highlands daripada hendak mencari rumah saya untuk lebih lapan bulan. Tak bawa apa-apa faedah dengan berbuat begitu.

“Anda juga kata itu adalah kerusi tradisi, pastinya anda kenal pengundi-pengundi situ apatah lagi kini sedang PRK di sini, bukankah itu lebih baik daripada hendak cari kediaman saya?Daripada cari rumah saya, lebih baik pergi ketuk rumah pengundi.

“Saya boleh mendabik dada walaupun bukan wakil rakyat di sini pusat khidmat MyPPP masih lagi beroperasi untuk masyarakat di sini, kita bukan sahaja berkhidmat untuk mereka sebaliknya sentiasa komited dan prihatin.

“Saya sudah mula bekerja di Cameron Highlands penghujung tahun 1990-an lagi sehingga kini, bukan sahaja saya orang sini malah telah bekerja dan bukan muncul secara tiba-tiba.

“Cukuplah asyik berpolitik seperti ini, pegi cari pengundi dan kemenangan untuk parti anda, itu lebih baik,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Kayveas mengulas kenyataan Naib Presiden MIC merangkap mantan penyandang kerusi Parlimen Cameron Highlands, Sivarrajh yang dua hari lepas yang mendakwa secara sinis dirinya masih sedang mencari di manakah kediaman Kayveas di Cameron Highlands.

Dalam pada itu, Kayveas masih lagi bertegas calon tempatan yang sudah lama berada di Cameron Highlands adalah calon terbaik kerana dapat memahami keperluan dan kehendak penduduk berbanding calon luar.

“Benar calon luar yang datang bertanding menang tetapi itu juga kerana faktor parti bukan calon itu sendiri. Apabila melaksanakan sesuatu seperti kehendak warga Cameron Highlands, anda gagal.

“Ada banyak perkara yang anda perlu fahami, bukan sahaja kaum tertentu sebaliknya setiap daripada mereka termasuk warga Orang Asli. Isi hati mereka perlu di fahami, apa yang diperlukan oleh mereka bukan sahaja perlu didengari tetapi juga perlu dilaksanakan.

“Apa gunanya hanya untuk musim pilihan raya kemudian tidak ada apa-apa. Itu yang saya maksudkan. Jika anda dari sini, dalam kalangan masyarakat tempatan yang membesar sama-sama, mungkin anda akan faham saya dengan lebih baik,” ujarnya.

Tambah Kayveas, beliau akan terus menabur jasa dan cuba sedaya upaya beliau membantu penduduk Cameron Highlands walaupun tidak menyandang apa-apa jawatan atau bergelar wakil rakyat kerana cinta beliau terhadap tempat ini. –MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2019/01/17/saya-sedang-cari-rumah-kayveas-sejak-lapan-bulan-lepas-sivarraajh/