Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR- Universiti Islam Malaysia (UIM) adalah sebuah kolej swasta yang tidak berasaskan keuntungan dan berbeza dengan institusi pengajian tinggi milik kerajaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Dengan itu, beliau meminta supaya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mempolitikkan isu pemberian dana sebanyak RM15 juta kepada UIM.

“Amatlah dikesali bahawa beliau tidak tahu perbezaan di antara UIM dan UIAM sungguhpun telah memegang jawatan kerajaan sekian lama dan berkhidmat di Putrajaya selama lebih 20 tahun.

“Apakah Datuk Seri Najib tidak membaca dengan telilti dahulu sebelum membuat tuduhan sebegini, kerana dia telah melakukan kesilapan besar dengan menganggap bahawa Universiti Islam Malaysia (UIM), sebuah kolej swasta bukan untuk keuntungan yang berteraskan wakaf, adalah institusi yang sama dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sebuah institut pengajian tinggi awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Guan Eng, UIM ditubuhkan di Cyberjaya pada tahun 2012, apabila Kolej Islam Malaya, sebuah institusi pengajian Islam dengan sejarah panjang melahirkan ramai tokohtokoh di Malaysia, dinaiktaraf dengan perkenan Majlis Raja-Raja.

“Mustahil seorang 2 bekas Perdana Menteri tidak tahu tentang kewujudan institusi yang begitu bersejarah, atau pura-pura tidak tahu semata-mata untuk berpolitik?” katanya lagi.

Dalam sebuah kenyataan yang telah dimuat naik ke Facebook, Najib telah mempertikaikan perbandingan di antara pemberian sumbangan oleh Kementerian Kewangan sebanyak RM 15 Juta kepada Universiti Islam Malaysia (UIM) dengan pemberian sebanyak RM6 Juta kepada Kolej Universiti New Era di Selangor, Kolej Universiti Selatan di Johor dan Kolej Universiti Han Chiang di Pulau Pinang, atau RM2 Juta buat setiap kolej swasta yang tidak berasaskan keuntungan.-MalaysiaGazette