MEXICO CITY – Sekurang-kurangnya 20 terbunuh manakala 54 lagi cedera pada Jumaat apabila saluran paip meletup di pusat bandar Mexico ketika orang ramai sedang mengisi bahan api ke dalam kontena.

Video yang disiarkan televisyen Mexico menunjukkan api menjulang tinggi dan dalam masa yang sama tangisan serta jeritan meminta tolong kedengaran ketika saluran paip tersebut terbakar di Tlahuelilpan berhampiran loji penapisan minyak Tula.

“Laporan awal menunjukkan ianya sangat serius.

“Mereka memberitahu saya, sekurang-kurangnya 20 meninggal dunia dan 54 lagi cedera dan terbakar,” kata Gabenor Bandar Hidalgo, Omar Fayad kepada televisyen Mexico.

Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador telah melancarkan gerakan memburu pencuri-pencuri minyak secara besar-besar berikutan kerajaan kehilangan sumber sebanyak AS$3 bilion setahun akibat kegiatan tersebut.

Lopez Obrador turut menyatakan kebimbangannya di Twitter dan mahukan seluruh kerajaan membantu mangsa di lokasi kejadian.- MalaysiaGazette