Tan Sri M Kayveas
Presiden myPPP, Tan Sri M Kayveas bercakap kepada media mengenai tiada bekalan elektrik dan air di Kampung Tersusun Mawar Tepian Desa, Cameron Highlands, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 19 JANUARI 2019.

CAMERON HIGHLANDS – Undi mahu, elektrik tak bagi.

Itu  luahan penduduk Kampung Tersusun Mawar Tepian Desa di Tanah Rata yang mendakwa dinafikan haknya oleh kerajaan  Pahang untuk mendapatkan kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan sumber air bersih sejak 19 tahun lalu.

Presiden MyPPP, Tan Sri M.Kayveas berkata, walaupun kampung itu terletak kurang 50 kilometer dari Simpang Pulai, Perak namun kemudahan asas itu masih gagal disediakan hanya kerana penduduk mendirikan penempatan secara tidak sah di atas tanah milik kerajaan negeri.

“Walaupun tak dapat Lesen Pendudukan Sementara (TOL) namun masih ramai keluarga yang mempunyai anak-anak dan warga emas di sini di mana mereka ini jadi tanggungjawab kerajaan negeri dan pusat.

“Barisan Nasional (BN) macam tidak ambil berat dalam hal ini, mereka rasa mereka ini orang luar. Oleh sebab itu mereka tiada hak (kemudahan asas) sedangkan mereka ini pengundi.

“Ramai orang di Cameron Highlands adalah pendatang juga, bukan asal dari sini di mana 10,000 daripada 32,000 pengundi adalah orang luar yang kini menetap di sini,” katanya kepada pemberita ketika membuat tinjauan di Kampung Tersusun Mawar Tepian Desa, di sini semalam.

MGF19012019_KAMPUNG MAWAR TIADA AIR DAN ELEKTRIK04
Kawasan Kampung Tersusun Mawar Tepian Desa inilah yang tiada bekalan air dan elektrik sejak tahun 1999 di Cameron Highlands, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 19 JANUARI 2019.

Malaysia Gazette dimaklumkan, Kampung Tersusun MTD yang terletak berdekatan Simpang Pulai itu diteroka oleh seramai 164 keluarga secara tidak sah di atas tanah milik Kerajaan negeri.

Sejak 19 tahun lalu diduduki, majoriti penduduk tidak mendapat kemudahan asas iaitu bekalan elektrik dan sumber air bersih sebaliknya terpaksa bergantung kepada generator dan air bukit untuk meneruskan kehidupan.

Kayveas juga menggesa kerajaan negeri mengambil serius perkara tersebut dan mungkin boleh mempertimbangkan untuk memberikan TOL kepada penduduk terbabit.

“Di Pahang masih banyak tanah kosong. Tanah di sini kosong bukan untuk  pembangunan, jadi tak salah kalau kerajaan negeri beri tanah ini kepada keluarga di sini.

“Mana-mana calon yang menang dalam PRK Cameron Highlands perlu ambil berat isu ini dan selesaikannya dengan mengarahkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memasang tiang elektrik di sini,” katanya.

Kayveas berkata lagi, sepatutnya kedua-dua calon PRK Cameron Highlands perlu mengambil peluang untuk menyelesaikan isu kemudahan asas tersebut kerana ia  akan menjadi nilai tambah pada hari pembuangan undi pada 26 Januari ini.

“Gunakan peluang ini untuk bantu penduduk dan sekiranya saya berpeluang menjadi calon, saya sendiri akan memperjuangkan isu ini.

“Bagaimanapun saya akan terus berkerja di Cameron Highlands walaupun tidak berpeluang menjadi calon wakil rakyat di sini.

“Saya tidak sokong mana-mana pihak, sama ada BN atau PH. Kita hanya berperanan sebagai orang tengah dan terus berjuang untuk rakyat sebagai pihak ketiga di sini,” katanya.

Salleh Mat Seman
Temubual bersama penduduk, Salleh Mat Seman, 63 mengenai tiada bekalan elektrik dan air di Kampung Tersusun Mawar Tepian Desa, Cameron Highlands, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 19 JANUARI 2019.

Sementara itu, seorang penduduk,  Saleh Mat Saman, 63, berkata, dia bersama 80 pengundi di sini setiap penggal memberi undi kepada calon BN namun masalah yang dihadapi mereka masih tiada penghujung.

“Ramai sangat wakil rakyat datang sini sejak tahun 1999, janji sampai sekarang tidak ada apa-apa. Saya minta jasa baik, wakil rakyat sekarang ini untuk sediakan kemudahan asas elektrik dan bekalan air bersih.

“Kami terpaksa beli satu rumah satu set generator di mana setiap malam membelanjakan RM20 untuk beli petrol bagi jana bekalan elektrik,” katanya.

Saleh juga berkata, meskipun dia akur penduduk kampung itu menduduki kawasan itu secara haram, namun mereka adalah penduduk dan pengundi yang sah di Parlimen Cameron Highlands.

“Semua yang duduk di sini mengundi di sini ikutkan kami sah duduk sini. Tempat kami mengundi di SMK Kg Raja, undi kami mahu tapi elektrik tak bagi.

“Sebulan belanja RM600 untuk minyak petrol minyak  generator sahaja, ia membebankan tapi kami, kalau ada bekalan eletrik, tak sampai jumlah itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette