Sawarak state election government assembly Abang Johari Tun Openg.
Abang Johari Tun Openg

KUCHING – Penubuhan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah sebagai landasan baru kerajaan negeri bagi melindungi hak dan kepentingan negeri demi memastikan masa depan Sarawak terus terjamin, kata pengerusinya Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari yang juga ketua menteri Sarawak berkata, entiti yang dtubuhkan pada 12 Jun tahun lalu itu tidak akan menjadi perikatan politik seperti sebelum ini dan mampu memberi keutamaan negeri ini selaras dengan kehendak rakyat pada era politik baru.

Beliau berkata PRU ke-14 tahun lalu telah memberi satu kejutan yang membawa perubahan kepada landskap politik negara berikutan kekalahan BN di peringkat Persekutuan.

“Perubahan ini menyaksikan parti komponen BN negeri yang memerintah Sarawak keluar untuk membentuk GPS dengan melaksanakan dasar berpaksikan rakyat Sarawak serta melaungkan slogan perjuangan ‘Utamakan Sarawak atau ‘Sarawak First’,” katanya ketika berucap melancarkan GPS di Stadium Perpaduan di Kuching, malam tadi.

Majlis pelancaran itu dihadiri oleh kira-kira 8,000 ahli empat parti gabungan tersebut iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Permohonan pendaftaran GPS telah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 19 Nov tahun lalu.

Pada majlis tersebut, Abang Johari, yang juga presiden PBB, menggariskan sembilan tonggak utama penubuhan GPS iaitu mendukung perlembangaan, menghormati undang-undang, membangunkan kesejahteraan dan kemajuan Sarawak.

Selain itu, budaya politik bertintegriti dan semangat patriotik, memperkasakan ekonomi Sarawak, memupuk perpaduan dan keamanan, membina kecemerlangan generasi anak Sarawak dan memulihara warisan budaya dan kemampanan hasil semulajadi.

Bercakap pada sidang media selepas pelancaran itu, Abang Johari berkata, GPS akan turun padang di peringkat akar umbi bagi memperjelaskan sembilan tonggak tersebut khususnya logo parti berkenaan iaitu burung kenyalang.

“Apa yang penting ialah kita mempunyai ekonomi yang mampan dan pada masa sama, GPS menggunakan konsep hubungan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Mengenai rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), ketua menteri itu berkata, beliau gembira dengan kemajuan yang dicapai oleh Jawatankuasa Perundingan MA63 Sarawak.

“Setakat ini ia adalah satu rundingan yang baik,” katanya berhubung tuntutan kepentingan, hak dan kedudukan Sarawak seperti termaktub dalam MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.

Mengenai cadangan menaikkan cukai jualan bagi produk petroleum kepada 10 peratus tahun depan bagi membantu merancakkan pembangunan Sarawak, Abang Johari berkata kenaikan itu bergantung kepada iklim ekonomi dan keperluan negara.

Berdasarkan Jadual 10 Perkara V (7) Perlembagaan Persekutuan, Sarawak dibenarkan mengenakan cukai jualan ke atas produk petroelum yang akan membawa kepada tambahan dana negeri sebanyak RM3 bilion setiap tahun.

Sarawak mengenakan cukai jualan bagi produk petroleum sebanyak lima peratus berkuat kuasa 1 Jan lalu.

Sementara itu, Abang Johari mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) kerana meneruskan projek Lebuhraya Pan Borneo dari kerajaan sebelum ini. – MalaysiaGazette