Logo Lembaga Hasil Dalam Negeri

KUALA LUMPUR – Kutipan kasar cukai langsung negara bagi tahun 2018 oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) ialah RM137.035 bilion, meningkat sebanyak 11.13 peratus atau RM13.723 bilion berbanding kutipan tahun 2017.

Prestasi kutipan itu sekaligus mencipta satu sejarah baharu kutipan hasil cukai langsung negara dan mengatasi kutipan cukai langsung yang direkodkan pada tahun 2014 iaitu RM133.700 bilion.

Peningkatan ini disumbangkan oleh lonjakan kutipan daripada komponen pembayar cukai seperti syarikat, individu, petroleum, koperasi, duti setem dan lain-lain.

Selain mencerminkan keberkesanan kepimpinan bersih dan pentadbiran Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), peningkatan hasil ini juga menunjukkan pertumbuhan ekonomi masih menggalakkan dalam tahun 2018.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kutipan hasil daripada cukai pendapatan (selain petroleum) telah menyumbang kira-kira RM116.953 bilion atau 85.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kutipan pada tahun 2018.

Komponen syarikat merupakan penyumbang terbesar iaitu RM70.036 bilion atau 51.11 peratus, diikuti komponen individu berjumlah RM36.065 bilion atau 26.32 peratus dan kutipan hasil cukai petroleum berjumlah RM20.082 bilion atau 14.66 peratus.

Kutipan duti setem berjumlah RM5.934 bilion atau 4.33 bilion, kutipan cukai pegangan berjumlah RM3.117 bilion atau
2.27 peratus, kutipan Cukai Keuntungan Harta Tanah berjumlah RM1.467 bilion atau 1.07 peratus, kutipan cukai koperasi
berjumlah RM0.171 bilion atau 0.12 peratus dan Labuan IOFC serta lain-lain cukai berjumlah RM0.163 bilion atau 0.12 peratus.

Guan Eng berkata, prestasi kutipan sangat memberangsangkan ini merupakan kesan daripada strategi-strategi efektif dan berkesan berkaitan percukaian yang ditetapkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan.

Penjajaran semula strategi kutipan cukai yang ditetapkan oleh kerajaan kepada LHDNM membuahkan hasil.

Antara strategi-strategi tersebut adalah:
1. Aktiviti penguatkuasaan cukai, khususnya aktiviti melibatkan tindakan audit dan siasatan yang dibuat dengan lebih profesional;

  1. Program-program pendidikan cukai yang berfokus;

  2. Penambahbaikan tatacara dalam pengenaan tindakan sekatan perjalanan kepada pembayar cukai yang mempunyai tunggakan cukai; dan

  3. Tatacara yang lebih ketat berhubung penggunaan peruntukan kuasa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil dari Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) di dalam aktiviti penguatkuasaan.

Ketelusan dan tahap integriti tinggi kerajaan dalam membelanjakan setiap sen cukai yang dikutip daripada rakyat turut memainkan peranan dalam meningkatkan tahap pematuhan dalam kalangan pembayar cukai dan menyumbang kepada peningkatan ini.

Faktor-faktor ini secara langsung telah meningkatkan keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada kerajaan dan mendorong mereka mengisytihar serta membayar cukai yang sepatutnya secara sukarela.

Guan Eng itu menyeru pembayar cukai yang mempunyai isu pematuhan cukai agar segera mengambil peluang menyertai program ini bagi mengelak dikenakan penalti yang lebih tinggi iaitu 80 peratus hingga 300 peratus apabila program ini tamat kelak. – MalaysiaGazette