Datuk Liew Vui Keong
Liew Vui Keong

KUALA LUMPUR – Liew Vui Keong menjelaskan beliau naik ke pentas dan menari bersama-sama Ketua Hakim Negara, Richard Malanjum dan Peguam Negara, Tommy Thomas atas permintaan penganjur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menambah, mereka menari untuk sebuah lagu sahaja.

“… Kami menari pun kerana penganjur menjemput kami ke pentas untuk menari, tetapi hanya untuk satu lagu sahaja.

“Selain itu, penganjur juga adakan persembahan lain daripada artis dalam kalangan peguam, hakim dan pegawai kehakiman, selain persembahan tradisi. Ia bukan khas kepada sesiapa,” katanya dipetik sebagai berkata.

Tambahnya, majlis itu bukan untuk bersuka-ria seperti yang didakwa sesetengah pihak sebaliknya ia dihadiri semua anggota badan kehakiman seluruh negara.

“Saya ke situ demi memenuhi jemputan mereka… Penganjur juga menjemput Tommy Thomas, Richard Malanjum dan semua (anggota) badan kehakiman dan perundangan,” katanya lagi.

Dipetik daripada Sinar Harian,  Liew bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung tindakan yang dikritik pelbagai pihak sejak video mulai tular semalam.

Menerusi video itu Liew, Malanjum dan Thomas termasuk peguam kontreversi Siti Kassim dilihat menari di pentas dalam majlis Makan Malam Gala Pembukaan Tahun Perundangan 2019 yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah.

Bagaimanapun penganjur majlis itu, Pertubuhan Undang-Undang Sabah (SLS) dilaporkan sebagai berkata, aksi tari menari itu tidak bermakna mereka tidak profesional dalam menjalankan tugas.- MalaysiaGazette