Semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini diminta mengadakan solat hajat bagi mendoakan agar anggota mereka, Wan Mohd Arif Wan Yahya, yang dikhuatiri lemas dan hilang di Sungai Paka dekat Kampung Durian Mentangau, Dungun, Jumaat lepas ditemui.

GEORGETOWN – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebuah kenderaan bersama pemandunya yang terhumban ke dalam laut dari Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang, awal pagi tadi ditamatkan kira-kira pukul 7 malam hari ini berikutan keadaan cuaca yang semakin gelap.

Komander Polis Marin Wilayah 1 ACP Rosman Ismail berkata, operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan di kawasan sekitar 25 meter persegi radius itu tidak menemui kenderaan jenis Mazda CX-5 itu.

“Operasi hari ini disertai kira-kira 20 pegawai dan anggota polis marin termasuk empat penyelam bersama pasukan bomba bersama lima buah bot dalam operasi yang bermula pukul 7 pagi tadi, namun selepas 12 jam operasi kami tidak menemui kereta atau mangsa kemalangan berkenaan.

Arus deras di kawasan pencarian kereta terhumban ke dalam laut itu menyukarkan operasi mencari dan menyelamat, pasukan menyelam telah turun menyelam ke kedalaman 20 meter,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan bersama media di kawasan laut tempat kereta terhumban, di sini hari ini.

Katanya operasi mencari dan menyelamat kenderaan dan pemandunya itu akan diteruskan pagi esok bersama Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, siasatan awal polis mendapati tempat kejadian dilengkapi dengan dua kamera litar tertutup (CCTV) iaitu di KM 4.0, lebih kurang 100 meter dari lokasi kenderaan terbabit dilaporkan terjatuh dan juga CCTV di KM 5.3.

Katanya, siasatan mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta jenis Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun terbabas di lorong kanan dan melanggar pembahagi jalan.

“Pada masa yang sama sebuah lagi kenderaan bewarna putih datang dari arah sama cuba mengelak lalu terbabas ke sebelah kanan bergesel pembahagi jalan sebelum hilang kawalan dan merempuh tembok di sebelah kiri jalan sebelum tercampak ke dalam laut,” katanya.

Katanya, pemandu kereta Toyota Vios yang mengalami kecederaan ringan itu dirawat di Hospital Seberang Jaya dan polis masih menunggu laporan ujian darah lelaki berkenaan bagi mengetahui sama ada dia memandu di bawah pengaruh alkohol serta dadah.

Dalam kemalangan pukul 2.54 pagi itu, sebuah kenderaan terhumban ke dalam laut selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala Perai, di sini awal pagi ini. – MalaysiaGazette