Rakaman saat berlakunya kemalangan membabitkan sebuah SUV dan kereta Toyoya Vios di KM4, Jambatan Pulau Pinang.

GEORGETOWN – Pemandu kenderaan SUV berwarna putih yang terhumban ke dalam laut dalam kemalangan di Kilometer 4, Jambatan Pulau Pinang awal pagi tadi dikenal pasti sebagai Moey Yun Peng.

Mangsa, 20, adalah seorang penuntut kolej swasta.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata, identiti pemandu dikenal pasti melalui laporan berkaitan orang hilang dibuat seorang lelaki jam 5 petang tadi.

Pengadu mendakwa mangsa adalah anak lelakinya dan dipercayai memandu SUV terbabit selepas mendapat tahu kejadian itu daripada rakan-rakan Yun Peng.

Dalam insiden itu, SUV tersebut dipercayai terhumban ke dalam laut selepas terbabit dalam kemalangan dengan kereta jenis Toyota Vios.

Semasa kejadian, kedua-dua kenderaan menghala ke Seberang Perai dari Georgetown.

Nik Ros Azhan berkata, tiga saksi bebas dan dua rakan mangsa sudah tampil membantu siasatan kes terbabit termasuk memberi rakaman percakapan.

Malah, polis juga sudah mendapatkan rakaman kamera daripada saksi bagi membantu siasatan di bawah Sekyen 42 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Manakala, pemandu Toyota Vios yang mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Hospital Seberang Jaya. – MalaysiaGazette