foto FAREEZ FADZIL, 03 JANUARI 2019

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka didagangkan lebih tinggi minggu depan kerana disokong oleh asas ekonomi domestik yang kukuh dan harga minyak yang lebih tinggi, tetapi masih terdedah kepada ketidakpastian luaran.

Penganalisis FXTM Research, Lukman Otunuga berkata, risiko penurunan boleh diimbangi oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, inflasi yang terkawal dan pertumbuhan ekonomi yang stabil.

“Beberapa indikator utama tempatan akan diumumkan minggu depan yang merupakan data rizab asing yang akan diumumkan pada Selasa, diikuti data inflasi pada Rabu (23 Jan). Bacaan CPI terkini akan dibuat menjelang keputusan Kadar Dasar Semalaman pertama Bank Negara Malaysia pada 2019, yang dijadualkan pada 24 Januari,” katanya kepada Bernama.

Pasaran Malaysia akan ditutup pada Isnin sempena cuti Thaipusam.

Beliau juga berkata, bank pusat kemungkinan akan kekalkan kadar faedah penanda aras pada 3.25 peratus untuk 2019, berbanding dengan kecenderungan pengetatan yang dilihat pada tahun lalu oleh bank pusat negara-negara jiran.

“Pertumbuhan global dijangka menyaksikan tekanan menurun tahun ini yang dapat memberi kesan kepada prospek ekonomi Malaysia.

“Inflasi domestik dijangka terus terurus pada 2019 dan merupakan salah satu sebab mengapa Bank Negara Malaysia tidak merasakan tekanan sebenar untuk mengubah dasar monetari,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pelabur akan terus mengawasi faktor luaran yang mempunyai pengaruh yang lebih besar terhadap ringgit seperti dasar kewangan AS, ketegangan perdagangan AS-China, kelembapan ekonomi China dan ketidakpastian Brexit.

“Peristiwa masa depan ini juga boleh menjejaskan sentimen global dalam jangka terdekat, yang mungkin menimbulkan tekanan lanjut ke atas mata wang pasaran baru muncul, termasuk ringgit,” katanya.

Ringgit dijangka didagangkan antara 4.10 hingga 4.12 minggu depan.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, mata wang tempatan itu merosot kepada 4.1100/1150 daripada 4.0940/0980 berbanding dolar US.

Ia menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0301/0342 daripada 3.0297/0338 dan menurun berbanding pound Britain kepada 5.3179/3248 daripada 5.2203/2270.

Berbanding yen Jepun, ringgit melonjak kepada 3.7507/7559 daripada 3.7785/7832 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6842 6903 daripada 4.7155/7217. – MalaysiaGazette