Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bergelar Datuk bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu bernilai RM500,000.

ADUN berusia 54 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Terengganu kira-kira pukul 5 petang tadi semasa memberi keterangan untuk siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Suspek dikatakan mengemukakan tuntutan berjumlah RM500,000 pada Mei tahun lalu kepada Pejabat Daerah dan Tanah di sebuah daerah bagi perbelanjaan untuk 32 program sedangkan program itu dipercayai tidak dilaksanakan, menurut laporan BH Online.

Sebelum ini, seorang pegawai daerah berusia 59 tahun dan pengerusi majlis belia berusia 38 tahun yang ditahan pada 13 Januari dan 8 Januari lalu direman bagi membantu siasatan kes sama.

Penahanan ADUN itu turut disahkan Pengarah SPRM Terengganu, Mohd Zaki Hassan.

Katanya, SPRM akan membuat permohonan reman di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu bagi membolehkan siasatan dijalankan. – MalaysiaGazette