Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin berkata penurunan harga itu diharapkan dapat membantu golongan B40 untuk memiliki rumah mampu milik.
Zuraida Kamaruddin.

PASIR PUTEH = Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membuka tender bagi pembelian baju kalis api untuk kegunaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada Rabu ini.

Menterinya, Zuraida Kamarudin berkata, ia satu keperluan memandangkan banyak baju kalis api tidak menepati standard yang dibenarkan untuk kegunaan ketika operasi.

“Walaupun ketetapan ketika ini hanyalah 6,000 baju kalis api tapi saya akan minta (dengan kabinet) untuk menaikkan jumlah itu kepada 9,000 helai.

“Kita mesti ada stok sekiranya ada baju kalis api yang rosak. Perancangan perlu mengambil kira rancangan jangka masa panjang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Pasukan Bomba Sukarela Marin (PBSMarin), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Balai Bomba Sukarela Marin, Tok Bali di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Amer Yusof dan Pengarah JBPM Kelantan Nazili Mahmood.

PBSMarin adalah pasukan bomba sukarela pertama yang ditubuhkan di negara ini oleh JBPM bagi membantu agensi itu menjalankan kerja-kerja penyelamatan terutama di laut.

Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata,  inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang bermula Jumaat lepas akan mencari jalan penyelesaian terbaik sekaligus dapat menegakkan keadilan kepada semua pihak yang terlibat.

“Semua saksi berhubung kematian Muhammad Adib telah disenaraikan dan saya difahamkan keluarga Allahyarham turut melantik lima peguam bagi kes itu, selain peguam pemerhati daripada KPKT sendiri.

“Inkues akan mewakili perwakilan yang lebih besar dan semua pihak akan disiasat (bagi mendapatkan kebenaran) dan Mahkamah Koroner akan membuat keputusan (terhadap kes berkenaan),” katanya.

Ditanya prosedur operasi standard (SOP) mengenai pengendalian trak makanan, Zuraida berkata KPKT telah membuat penyeragaman polisi untuk semua aktiviti berkaitan perniagaan itu di seluruh negara.

“Ia akan dilaksanakan di seluruh negara dan telah ada garis panduan yang ditetapkan kepada semua pengusaha trak makanan. Kita boleh kenakan denda jika mereka tidak mengikut peraturan,” katanya.

— BERNAMA