Ashari Abu Samah
Supt. Ashari Abu Samah.

TANAH RATA – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerima 17 laporan polis berhubung salah laku di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya sepanjang 10 hari kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands sejak 12 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, DSP Ashari Abu Samah berkata, kesemua laporan itu melibatkan empat isu utama dan setakat ini hanya satu kertas siasatan telah dibuka oleh pihaknya.

“Setakat hari ini pihak polis telah menerima sebanyak 17 laporan polis dan hanya satu kertas siasatan sahaja baru dibuka yang disiasat di bawah Seksyen (6)(B) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Kesemua laporan itu melibatkan empat isu utama iaitu isu pemberian wang, isu khemah yang dirosakkan dan isu kertas undi yang ditularkan dalam media sosial.

“Terbaru isu yang hangat diperkatakan itu berhubung satu insiden yang berlaku di Sungai Koyan, semalam. Isu terbaru ini masih dalam siasatan pihak polis.,” katanya pada sidang media di Pusat Media, di Cool Point Hotel, di sini, hari ini.

Ashari juga berkata, bagi laooran berhubung insiden di Balai Polis Sungai Koyan, pihaknya hanya menerima satu laporan polis oleh calon Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd Nor.

Katanya, laporan itu dibuat selepas calon BN itu diugut oleh jentera Pakatan Harapan (PH) didakwa menyalahgunakan kenderaan pacuan empat roda milik Jabatan Perhutanan Negeri Pahang untuk tujuan kempen di Felda Sungai Koyan.

“Setakat ini satu laporan saja dibuat oleh calon dan hari ini tiada lagi laporan berkenaan isu sama,” katanya.

Ashari berkata lagi, pihaknya ada menerima satu laporan polis berhubung dakwaan penyalahgunaan jentera kerajaan oleh jentera PH untuk tujuan berkempen.

“Satu laporan polis diterima berkenaan isu penyalahgunaan kenderaan kerajaan ini dan laporan ini masih dalam siasatan dan kita akan maklum dari semasa ke semasa.

“Ini kerana kita masih menunggu pengadu untuk diambil keterangan dan laporan itu dibuat oleh jentera BN,” katanya.

Ditanya tentang isu pemberian wang oleh jentera PH pada hari penamaan calon pada 12 Januari lalu, Ashari bagaimanapun berkata, kes terbabit masih dalam siasatan.

“Kes itu kita telah serahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, beliau juga berkata setakat 10 hari proses berkempen, pihaknya telah mengeluarkan 41 permit ceramah kepada semua pihak yang bertanding dalam PRK Cameron Highlands.

“Pihak polis telah meluluskan 41 permit ceramah yang telah dipohon oleh parti-parti yang terlibat. Sebanyak 16 permit diberikan kepada PH manakala 25 permit kepada jentera BN.

“Setakat ini, kesemua pihak yang diberikan permit ceramah mematuhi undang-undang dan tiada pelanggaran permit direkodkan,” katanya lagi -MalaysiaGazette