Hutang China semakin meningkat

BEIJING – Ekonomi China berkembang 6.4 peratus pada suku keempat tahun lalu, menepati jangkaan penganalisis.

Prestasi itu lebih rendah berbanding 6.5 peratus yang direkodkan bagi suku sebelumnya.

Kadar pertumbuhan suku keempat China itu adalah paling lemah sejak dilanda krisis ekonomi, menurut data yang dikeluarkan oleh Biro Statistik Kebangsaan, sekaligus meningkatkan kebimbangan kelembapan lebih ketara ekonomi dunia.

Untuk sepanjang tahun lalu, ekonomi kedua terbesar dunia itu berkembang 6.6 peratus – kadar pertumbuhan paling perlahan dalam tempoh 28 tahun.

Pembuat dasar China dijangka meningkatkan sokongan ekonomi pada tahun ini untuk mengelakkan kelembapan lebih ketara.

Tetapi penganalisis mengatakan aktiviti mungkin tidak stabil sehingga musim panas, menambah tekanan ke Beijing untuk melaksanakan perjanjian dengan Washington bagi menamatkan perang perdagangan.

Secara suku tahunan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 1.5 peratus pada bulan Oktober-Disember, berbanding 1.6 peratus dalam tempoh tiga bulan sebelumnya. – MalaysiaGazette