EPL
Aksi pemain Manchester City Leroy Sane selepas berjaya menjaringkan gol pada perlawanan menentang Huddersfield awal pagi tadi

LONDON – Manchester City menjadi pesaing terdekat kepada Liverpool bagi perburuan kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas mengalahkan kelab paling bawah, Huddersfield 3–0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium John Smith awal pagi tadi.

Pasukan kendalian Pep Guardiola itu hanya dibezakan menerusi empat mata dengan The Reds (60 mata) di puncak liga bagi terus menghidupkan peluang untuk mengekal kejuaraan yang dicapai pada musim lalu.

Jaringan Danilo pada minit ke-18 memastikan City mendahului The Terriers pada separuh masa pertama.

Pada babak kedua pula, City hanya memerlukan sembilan minit untuk mendapatkan mata gol kedua bagi mengukuhkan kedudukan melalui penyerang England, Raheem Sterling yang menanduk bola melepasi penjaga gol lawan.

City terus membenam cabaran Huddersfield dengan gol ketiga hasil jaringan Leroy Sane pada minit ke-56 selepas menyudahkan hantaran Sergio Aguero dengan sempurna. – MalaysiaGazette