Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kutipan cukai langsung Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bagi tahun 2018 yang diumumkan sebanyak RM137.035 bilion adalah cukai pendapatan yang diterima dalam tahun 2018 selaras dengan pelaksanaan sistem taksiran tahun semasa.

Ia bukanlah berdasarkan taksiran ekonomi pada tahun 2017 seperti dakwaan sesetengah pihak.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mempertahankan bahawa prestasi kutipan cukai itu mencerminkan pengukuhan dan perkembangan ekonomi dan juga pengenalan tadbir urus Kerajaan yang bersih berasaskan prinsip Cekap, Akauntabiliti,
dan Telus (CAT).

Selain itu, ia disokong dengan prestasi kutipan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang melebihi jangkaan sebanyak 34 peratuspada tahun 2018.

Kenyataan itu dibuat selepas Presiden MCA mendakwa Guan Eng mengambil kredit tentang kenaikan kutipan cukai kerana cukai dikutip daripada hasil tahun sebelumnya.

Guan Eng berkata, kutipan cukai langsung itu meningkat sebanyak 11.13 peratus atau RM13.72 bilion berbanding tahun sebelumnya adalah hasil daripada komponen syarikat, individu, petroleum, cukai keuntungan harta tanah, duti setem, cukai pegangan dan cukai daripada aktiviti perniagaan Labuan.

Katanya, sistem percukaian negara, khususnya pengenaan cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (berkaitan komponen syarikat, koperasi dan individu) telah lama bertukar kepada sistem taksiran tahun semasa dan bukan lagi sistem taksiran tahun sebelumnya.

Pertukaran kepada sistem taksiran tahun semasa bagi Akta Cukai Pendapatan 1967 telah mula berkuat kuasa sejak tahun taksiran 2000.

Pertukaran kepada sistem taksiran tahun semasa bagi cukai pendapatan petroleum yang dikenakan di bawah Akta Cukai Pendapatan (Petroleum) 1967 telah mula berkuat kuasa daripada tahun taksiran 2010.

Berdasarkan sistem taksiran tahun semasa, cukai yang dibayar dalam suatu tahun, contohnya oleh syarikat bagi tahun 2018, adalah berdasarkan kepada anggaran cukai yang kena dibayar oleh syarikat untuk pendapatan yang diterima dalam tahun 2018.

“Anggaran cukai yang kena dibayar bagi tahun 2018 perlu dikemukakan kepada LHDNM, 30 hari sebelum bermulanya tahun tersebut dan ansuran hendaklah dibayar sepanjang tahun 2018 berdasarkan kepada anggaran cukai yang telah dibuat.

“Kutipan cukai keuntungan harta tanah dan duti setem juga tidak berkaitan dengan situasi percukaian tahun sebelumnya. Ini adalah kerana cukai atau duti bagi pelupusan sesuatu aset dikenakan dalam tahun pelupusan itu dilakukan.

“Begitu juga duti setem terhadap instrumen atau perjanjian, duti akan dikenakan dalam tahun instrumen atau perjanjian itu dilaksanakan atau ditandatangani,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah beliau, kutipan SST bagi tahun 2018 pula ialah RM5.4 bilion, meningkat sebanyak 34 peratus daripada sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak RM4 bilion semasa cukai itu dilaksanakan pada 1 September 2018.

Peningkatan ini adalah usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam memberi kefahaman kepada peniaga melalui program kesalinghubungan di seluruh negara. – MalaysiaGazette