Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun

TANAH RATA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memandang serius laporan terdapat pihak yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands melanggar undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, pelanggaran itu termasuk penggunaan aset kerajaan dan memainkan sensitiviti bangsa serta agama dalam kempen masing-masing.

Katanya ,sepanjang tempoh rasmi berkempen, aktiviti seperti menjamu makan, pemberian hadiah dan barangan, mengadakan program kerajaan, penggunaan kemudahan dan aset kerajaan untuk meraih undi tidak boleh dilaksanakan.

“Sekiranya aktiviti kempen sedemikian berlaku dan disabitkan dengan kesalahan, maka tindakan tegas boleh diambil selaras dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954 atau undang-undang lain yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau turut mengingatkan semua pihak bahawa kempen yang berunsurkan perkauman dan menyentuh sensitiviti agama merupakan satu kesalahan masing-masing di bawah Seksyen 4A dan Seksyen 9A AKPR 1954.

Azhar berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan segera dengan Presiden Malaysian Corruption Watch, Jais Abdul Karim selaku Pemerhati Pilihan Raya yang dilantik SPR bagi mengemukakan maklumat berhubung isu penggunaan kenderaan jabatan kerajaan semasa berkempen.

“ Ini bagi mengemukakan maklumat dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan perkara tersebut untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau turut menyeru semua calon dan parti politik yang bertanding mematuhi Aku Janji Calon Semasa Tempoh Berkempen dan Hari Mengundi dalam setiap aktiviti berkempen yang dilakukan.

“ SPR juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas keprihatinan dan kerjasama dalam memantau perjalanan pilihan raya ini.

“Kesedaran ini menunjukkan bahawa Malaysia dan rakyatnya sentiasa mahukan proses penjalanan pilihan raya yang telus dan adil kepada semua pihak,” katanya.

PRK Cameron Highlands menyaksikan pertembungan empat antara calon Pakatan Harapan, M.Manogaran; Ramli Mohd Nor (Barisan Nasional) dan dua calon Bebas iaitu bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki Sallehudin Ab Talib serta Wong Seng Yee yang merupakan petani tempatan.

Esok merupakan hari pengundian awal PRK itu, manakala 26 Jan ini ditetapkan sebagai tarikh pengundian.

— BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN:

Calon BN buat laporan polis dakwa diganggu Timbalan Menteri