Piala Asia
Pemain-pemain Iran bersorak gembira selepas pasukan itu berjaya menundukkan Oman dengan jaringan 2-0

ABU DHABI – Iran bakal bertemu China selepas berjaya melayakkan diri ke suku akhir Piala Asia, awal pagi tadi.

Pasukan itu terselamat selepas mendapat penalti dengan jaringan 2-0 sekaligus menyingkirkan Oman.

Vietnam pula muncul pasukan pertama layak ke suku akhir selepas mengetepikan Jordan menerusi penentuan penalti di Dubai sebelum China menyertai mereka apabila mengatasi Thailand 2-1.

Iran yang mengintai peluang menamatkan kemarau 43 tahun kejuaraan Piala Asia, memecah kebuntuan selepas 32 minit apabila penyerang Brighton, Jahanbakhsh menyambut hantaran jauh sebelum menyepak bola melepasi penjaga gol Oman, Faiyz Al-Rusheidi.

Kapten Iran, Dejagah kemudian menyempurnakan sepakan penalti empat minit sebelum rehat selepas Mehdi Taremi dijatuhkan.

Beiranvand kemudian menghasilkan penyelamat akrobatik untuk menafikan percubaan jarak jauh Muhsen Al-Ghassani sejurus sebelum rehat.

Iran akan bertemu China pada Jumaat ini dan perlawanan dijangka berlangsung awal pagi. – MalaysiaGazette