Datuk Junaidah Kiting (tiga kiri)
Datuk Junaidah Kiting (tiga kiri)

KUALA LUMPUR – Pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Junaidah Kiting membidas pihak yang cuba mencemarkan nama baiknya dengan mengaitkan kewujudan amalan kronisme berhubung pelantikan beliau ke jawatan itu.

Malah, beliau menyifatkan pihak terbabit yang turut mengheret suaminya (Abu Bakar Yahya) yang merupakan Setiausaha Politik Perdana Menteri sebagai satu tuduhan yang dangkal.

“Pelantikan saya sebagai Pengerusi AIM merupakan keputusan pihak pengurusan tertinggi AIM dan tidak ada kena-mengena serta campur tangan daripada Pejabat Perdana Menteri.

“Adalah tidak wajar ada pihak membuat dakwaan tidak berasas kononnya wujud amalan kronisme dalam pelantikan saya sebagai Pengerusi AIM hanya kerana status saya sebagai isteri kepada salah seorang Setiausaha Politik Perdana Menteri.

“Dakwaan seumpama ini dilihat tidak adil sama sekali seolah-olah mahu mencemarkan nama baik saya dan suami khususya dari sudut integriti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Junaidah lagi, dakwaan seumpama itu menunjukkan seolah-olah pihak terbabit mengenepikan kelayakan, pengalaman serta bakat seseorang yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan sesebuah organisasi.

“Malah, sebelum dilantik sebagai Pengerusi AIM, saya berusaha keras sebagai seorang usahawan wanita yang berjaya dan mampu membina jenama dalam perniagaan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Junaidah turut menafikan dakwaan kononnya AIM telah menyimpang daripada matlamat asal.

Tegasnya, dakwaan itu tidak benar kerana pengurusan baharu AIM sentiasa memberikan fokus kepada usaha meningkatkan sosio-ekonomi serta membasmi kemiskinan rakyat menerusi perniagaan dan keusahawanan.

Jelas beliau, AIM ketika ini sentiasa berusaha untuk menambah bilangan peminjam dengan sasaran 400,000 ahli Sahabat AIMĀ  sekaligus mengeluarkan rakyat daripada kepompong kemiskinan.

Katanya lagi, berhubung isu penubuhan anak syarikat yang dikatakan tidak mengikut Seksyen 17 (2) Akta Pemegang Amanah 1992, ia sebenarnya telahpun wujud sejak 2004 lagi dan isu tersebut bukannya diputuskan oleh pengurusan baharu AIM.

“Bagaimanapun, pengurusan baharu AIM yang mana saya selaku Pengerusi sentiasa tegas serta tidak bertolak ansur dengan mana-mana salah laku atau penyelewengan yang berlaku dalam badan itu.

“Malah, AIM telahpun menyerahkan dokumen serta maklumat berhubung isu anak syarikat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut pada 21 Disember lalu,” tambah beliau. – MalaysiaGazette